GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosliza Mohamed

POLIS sudah mengenal pasti lapan suspek yang disyaki terbabit dengan kes penemuan 41 bom di Takbai, Narathiwat, pada Jun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, senarai suspek itu diterima hasil mesyuarat bersama Polis Narathiwat pada 16 Ogos lalu.

“Mesyuarat itu diadakan bersama Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Manus Siksamut bagi mendapat kerjasama dua hala.

“Kita dapati lapan suspek itu berusia antara 20 hingga 30-an dan senarai itu sudah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya, ” katanya pada sidang media pada Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK di Kota Bharu, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 10 pemberita daripada NSTP, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kosmo, Bernama, TV9 dan China Press menerima surat penghargaan daripada polis.

Hasanuddin berkata, siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai berasal dari negara jiran.

Katanya, kes masih belum selesai dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Pada 21 Jun lalu, polis Thailand menemui 41 bom buatan sendiri bersama alat peledak di sebuah trak pikap yang ditahan ketika sekatan jalan raya di Kampung Saring, daerah Takbai.

Bom buatan sendiri itu didakwa dibawa dari Sungai Golok untuk dihantar kepada seorang lelaki yang meloloskan diri di daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 1:44 PM