Narathiwat: Lima anggota polis cedera dalam serangan bom di Kampung Tok Jamu, mukim Nanak berhampiran Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand kelmarin.

Ketua Polis Daerah Takbai, Wacharapol Na Bakorn berkata, bom buatan sendiri seberat 20 kilogram itu dipercayai diletupkan oleh individu yang bersembunyi di seberang Sungai Golok yang terletak di dalam wilayah Malaysia.

“Wayar yang diguna untuk meledakkan bom itu ditarik dari seberang Sungai Golok di wilayah Malaysia,” katanya di sini semalam.

Katanya, bom itu diletakkan di dalam tong gas dan diledakkan mengguna bateri.

Menurut Wacharapol, dalam kejadian pada jam 6 petang (waktu tempatan) semua anggota polis itu menaiki trak pikap untuk pulang selepas membuat rondaan.

Semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Sungai Golok yang memisahkan Malaysia dan Thailand hanya mempunyai kelebaran tidak lebih 20 meter.

Ia menjadi laluan kegemaran kepada kumpulan penyeludup serta penjenayah sejak dahulu lagi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 9:06 AM