FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

WARGA emas dijatuhi hukuman denda RM7,000 oleh Mahkamah Trafik Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian wanita, dua tahun lalu.

Majistret Mohd Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Cheong Chee Weng, 67, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya denda gagal dibayar selain merekodkan kesalahan itu di dalam lesen memandunya.

Lelaki itu didakwa telah memandu sebuah kereta dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Hasnor Balkis, 30, di Persiaran Teknologi Subang, di persimpangan masuk Jalan Delima dari arah Batu Tiga menghala ke USJ, di sini, pada 8.40 pagi, 10 Ogos 2016.

Pendakwaan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan berbentuk denda atas alasan anak guamnya sudah berusia dan menghidapi penyakit darah tinggi dan hepatitis.

"Anak guam saya juga merupakan penanggung utama keluarga dan menjaga seorang anak yang masih belajar di kolej", kata peguam itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li membantah mengambil kira kesalahan yang dilakukan itu adalah serius sehingga menyebabkan kematian terhadap mangsa.

"Tiada dokumen sokongan yang dikemukakan berhubung penyakit yang dihidapi tertuduh selain kes telah melalui perbicaraan penuh sejak Februari tahun lalu, oleh itu saya mohon satu hukuman berat", katanya.

Difahamkan, kemalangan itu berpunca daripada tertuduh yang tidak nampak motosikal mangsa ketika ingin membelok di persimpangan jalan.

-- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 3:59 PM