Oleh Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Bekas pekerja salun dipenjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pelajar kolej di Jambatan Pulau Pinang, tiga tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Ahzal Fariz Ahmad Khairuddinyang bertindak sebagai Majistret selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap M Vaitheswaran, 23, di akhir kes pembelaan.

Ahzal Fariz juga turut memerintahkan tambahan 12 bulan lagi penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda, selain lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun.

Terdahulu, Vaithweswaran berbaju kemeja biru gelap hadir ke mahkamah ditemani bapanya kira-kira jam 10.30 pagi.

Pada November lalu, Vaitheswaran diarah membela diri ke atas pertuduhan yang dihadapinya.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala Vaitheswaran diwakili peguam, K Paramanathan.

Ketika prosiding, Paramanathan merayu kepada mahkamah supaya hukuman lebih ringan dikenakan terhadap anak guamnya yang tidak bekerja selepas lesen memandunya digantung dan menjadi trauma susulan insiden itu.

Bagaimanapun, Mohammad Nazri memohon supaya mahkamah menetapkan hukuman yang lebih berat kerana kes itu adalah kepentingan awam dan dilaporkan secara meluas oleh media.

Menurutnya, kegagalan tertuduh mengakui jenayah itu dari awal juga menyebabkan membazir masa mahkamah dan kos pendakwaan.

Ahzal Fariz kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang lain di atas kesalahan yang dilakukannya.

Paramanathan kemudian bangun sekali lagi merayu untuk menangguhkan hukuman penjara bagaimanapun dibantah Khairul Anwar yang menyatakan tiada sebab khas untuk berbuat demikian.

Ahzal Fariz juga menolak permohonan yang dibuat dan dimaklumkan bahawa tertuduh akan membayar denda berkenaan.

Pada 20 Januari 2019, Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Moey Yun Peng, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu Yun Peng di Jambatan Pulau Pinang, terhumban ke laut.

Dalam kejadian jam 2.54 pagi itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu Toyota Vios berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan menyebabkan SUV itu hilang kawalan dan terjunam ke laut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun, denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

M Vaitheswaran di akhir kes pembelaan. FOTO DANIAL SAAD
M Vaitheswaran di akhir kes pembelaan. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 2:52 PM