Rohaniza Idris dan Hidir Reduan


UMNO bersikap terbuka terhadap Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila tidak bersama Ahli Parlimen pembangkang keluar bagi membantah prosedur pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Setiausaha Agungnya Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan Khairy adalah pilihan peribadi beliau kerana tidak mengetahui keputusan yang dicapai pembangkang berhubung tindakan keluar Dewan Rakyat itu.

“Beliau (Khairy) tidak hadir pada majlis taklimat Ahli Parlimen pembangkang malam tadi (semalam)... mungkin beliau bersiap sedia untuk mengikuti perlawanan akhir Piala Dunia kerana beliau peminat bola...,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, hari ini.

Annuar berkata demikian mengulas tindakan Khairy yang menjadi antara Ahli Parlimen pembangkang tidak keluar Dewan Rakyat bagi membantah prosedur pelantikan Mohamad Ariff.

Difahamkan, Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bebas-Masjid Tanah) turut mengambil pendirian sama tidak keluar dari dewan.

Menurutnya, UMNO di bawah kepemimpinan Presiden baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil pendekatan terbuka mendengar pandangan peribadi ahli parti serta meraikan perbezaan pendapat.

Katanya, beliau menghormati pendapat peribadi Khairy berhubung pendiriannya untuk kekal di dalam dewan bagi menghormati Dewan Rakyat.

“Itu pandangan peribadi beliau dan keputusan kami semua untuk keluar Dewan Rakyat dicapai melalui persetujuan bersama antara lima parti komponen Barisan Nasional (BN) bersama PAS.

“Beliau seharusnya turut menghormati pandangan parti yang sudah dipersetujui secara konsensus... terpulang kepada beliau,” katanya.

Berita berkaitan

Hormat majlis - Khairy

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 8:20 PM