AHMAD Zahid (lima dari kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Tertinggi UMNO sesi 2018/2021 di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
AHMAD Zahid (lima dari kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Tertinggi UMNO sesi 2018/2021 di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Mohd Anwar Patho Rohman dan Farhana Syed Nokman


AHLI Parlimen UMNO yang bertindak keluar parti selepas Barisan Nasional (BN) gagal menjadi kerajaan didesak supaya meletakkan jawatan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana kemenangan diraih Ahli Parlimen UMNO yang bertanding atas tiket BN bukan atas faktor peribadi atau kapasiti sendiri.

“Kami berpendirian Ahli Parlimen UMNO yang bertanding atas nama BN bukan memperoleh kemenangan atas kapasiti sendiri atau peribadi.

“Kalau dia Ahli Parlimen bermaruah, mereka hendaklah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan sanggup menghadapi pilihan raya kecil (PRK) jika diadakan.

“Kami bersetuju dengan pandangan ketua sayap dan kepemimpinan peringkat bahagian di parlimen berkenaan.

“Mereka (Ahli Parlimen) harus berlapang dada dan terbuka, bukan melayani perasaan peribadi yang sedang dihadapi mereka dan bukan membalingkan masalah itu seolah-olah mereka tidak yakin dengan UMNO,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas buat kali pertama mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebagai Presiden parti.

Hadir sama, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabry Yaakob; Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut serta, Ketua Wanita, Datuk Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.

Setakat ini, tiga Ahli Parlimen UMNO bertindak keluar parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mengulas tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Kedah menyokong pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Ahmad Zahid menjelaskan tindakan itu mendapat restu Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Sementara itu, beliau berkata, Ketua Pembangkang di Parlimen akan dilantik selepas perbincangan dilakukan bersama rakan parti pembangkang lain.

“Jika ada Ahli Parlimen Bebas yang mahu menyertai kumpulan kami, maka perbincangan akan diadakan.

“Oleh kerana Ketua Pembangkang lazimnya adalah presiden parti pembangkang, kita akan mengadakan mesyuarat dengan Ahli Parlimen pelbagai parti untuk menentukan siapa ketua pembangkang,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan UMNO akan berunding dengan parti rakan lain sebelum memutuskan meletakkan calon bagi bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 10:54 PM