AHLI Parlimen Rembau , Khairy Jamaluddin. FOTO Mohd Yusni Ariffin
AHLI Parlimen Rembau , Khairy Jamaluddin. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Ahmad Suhael Adnan


BEKAS calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin mengaku tiga kali menolak tawaran mengisi jawatan dalam UMNO kerana mahu kekal sebagai suara bebas dalam parti.

Beliau memilih untuk tidak terikat dengan suara kepimpinan parti kerana melihatnya sebagai langkah terbaik membantu parti bangkit semula selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya tak mahu terikat dengan keputusan parti ketika ini, saya mahu jadi suara bebas dalam UMNO.

“Saya masih bersama UMNO, tetapi biarlah saya ada kebebasan menyatakan pandangan sendiri. Ia bagus untuk UMNO,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan tindakan penolakan tiga tawaran oleh Khairy untuk mengisi jawatan dalam parti.

Ahmad Zahid dilaporkan mencadangkan Khairy bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti, mengisi jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Ketua Penerangan UMNO, namun ketiga-tiganya ditolak bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

Khairy mengakui tidak terkesan dengan pihak yang mahu melihatnya sebagai ‘pemberontak’ dalam UMNO, malah tidak teragak-agak untuk terus menegur pimpinan parti pada masa depan.

“Saya akan terus jalankan tugas di Parlimen dan kawasan serta turun berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Jika ada benda yang tak betul, kita tegurlah,” katanya yang kelihatan ceria sepanjang ditemubual wartawan.

Beliau turut menolak pandangan suaranya akan lebih didengari jika mengisi jawatan dalam UMNO, berdasarkan apa yang berlaku dalam parti itu sebelum ini.

“Awak rasa begitu? Same thing all over again la,” katanya dalam nada agak sinis.

Mengenai hubungannya dengan Ahmad Zahid, beliau menegaskan mereka masih baik walaupun mengakui wujud sedikit ketegangan selepas beliau enggan keluar dari Dewan Rakyat ketika majoriti Ahli Parlimen pembangkang berbuat demikian minggu lalu.

“Beliau menegur saya tadi buat pertama kali selepas insiden itu. Beliau tanya sama ada saya akan berbahas hari ini dan saya jawab ya,” katanya yang mengakui mood cerianya itu kerana dapat bercakap semula dengan Ahmad Zahid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 8:28 PM