Mohamad Ariff bersama dua Timbalannya, Datuk Mohd Rashid Hasnon (kanan) dan Nga Kor Ming (kiri) selepas Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat  Parlimen Ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.  FOTO BERNAMA
Mohamad Ariff bersama dua Timbalannya, Datuk Mohd Rashid Hasnon (kanan) dan Nga Kor Ming (kiri) selepas Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

DATUK Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan sudah meletakkan semua jawatan dalam Parti Amanah Negara (PAN) pada akhir bulan lalu bagi membolehkan beliau bebas dan berlaku adil dalam menjalankan tugasnya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baharu.

Beliau berkata, tindakan itu bagi memastikan keputusan yang dibuat sepanjang memegang jawatan tertinggi Dewan Rakyat itu tidak terikat dengan jawatan dalam parti politik yang disertainya sebelum ini.

“Semua jawatan itu telah dilepaskan lebih awal daripada 1 Julai, mungkin pada 26 atau 28 Jun lepas atau lebih awal lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAN, Anuar Tahir mendedahkan Mohamad Ariff yang sebelum ini menjadi anggota Majlis Penasihat Pakar PAN merangkap pengerusi lembaga disiplin dan tata tertib telah melepaskan semua jawatan beliau itu berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Mengenai tindakan wakil rakyat pembangkang keluar dewan selepas membantah pelantikannya, Mohamad Ariff berkata, tindakan itu menunjukkan hak demokrasi dan kebebasan bersuara diamalkan dalam Malaysia Baharu.

Beliau turut meminta rakyat memberi masa untuk melihat apa perubahan yang sudah dibawa dan yang perlu diperbaiki termasuk demokrasi di Parlimen dan pelantikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Kami akan tunggu dan lihat. Ini adalah perkara yang perlu dibincang, saya tidak boleh membuat keputusan sendiri. Kami akan membincang dan melihat bagaimana untuk memperbaiki prosedur dan prestasi Parlimen dan matlamat kami untuk mempunyai Parlimen yang lebih baik, itulah visi yang mahu kami capai,” katanya.

Mengenai isu larangan liputan terhadap media di lobi Parlimen yang dikenakan oleh pendahulunya, Tan Sri Pandikar Amin Mula, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 6:43 PM