PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Bangunan Perdana Putra. FOTO Bernama
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Bangunan Perdana Putra. FOTO Bernama
Azura Abas; Manimaran Rajasamy; Mohd Husni Mohd Noor dan Irwan Shafrizan Ismail


SIDANG Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 dijadual bermula pada 16 Julai ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sidang Parlimen berkenaan akan berlangsung selama 20 hari.

Beliau berkata akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi mendapatkan perkenan untuk mengadakan sidang berkenaan.

“Pada 16 Julai itu, kita akan melantik Yang di-Pertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara diikuti majlis angkat sumpah pada hari sama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong juga akan merasmikan sidang Dewan Rakyat serta menyampaikan titah perasmian pada 17 Julai 2018.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan membawa usul untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Akta Anti-Berita Tidak Benar serta pindaan terhadap akta-akta lain untuk dibentangkan pada sidang Parlimen itu.

“Ada beberapa pindaan kepada undang-undang yang lain yang akan kita umumkan pada sidang berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 8:42 PM