TAN Sri Mohamad Ariff Md Yusof. FOTO NSTP
TAN Sri Mohamad Ariff Md Yusof. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling


RESOLUSI untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad diterima untuk dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat 18 Mei ini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, pada 4 Mei lalu, beliau menerima dua usul daripada Ahli Parlimen Langkawi itu iaitu satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 4 iaitu membuat ketetapan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat penggal ini dikekalkan sehingga parlimen dibubarkan.

Manakala, satu lagi usul diterima di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) iaitu resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli dewan rakyat.

"Setelah diteliti berdasarkan penjelasan yang dikemukakan, saya memutuskan bahawa usul di bawah Peraturan Mesyuarat 4 ditolak kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

"Manakala usul di bawah Peraturan 27 (3) diterima untuk dibawa ke Dewan Rakyat kelak.

"Sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, saya perlu meneliti dan memastikan segala usul yang dikemukakan adalah menepati serta mematuhi peruntukan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat yang sedia ada kerana pada hemat saya ia sebahagian daripada keluhuran undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya mesyuarat akan dimulakan dengan Istiadat Perasmian Parlimen dan Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, disusuli Mesyuarat Dewan Rakyat yang hanya akan membincangkan Usul Urusan Kerajaan dan Rang Undang-Undang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 4:27 PM