SYED Saddiq (tengah) diberi penerangan oleh Norazam (dua dari kanan) ketika melawat lokasi kejadian di Port Dickson, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SYED Saddiq (tengah) diberi penerangan oleh Norazam (dua dari kanan) ketika melawat lokasi kejadian di Port Dickson, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan jawatankuasa siasatan berhubung insiden seorang peserta Port Dickson International Triathlon 2018 ditemui lemas, manakala seorang masih hilang di Port Dickson, hari ini.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, program bertaraf antarabangsa anjuran Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) itu sepatutnya menekankan aspek keselamatan.

Katanya, pihaknya akan menyiasat sama ada penganjuran itu mendapat kebenaran KBS atau sebaliknya sebelum sebarang tindakan susulan.

“Kita akan mengkaji secara keseluruhan berhubung penganjuran (acara) ini sama ada bercanggah dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 atau tidak.

“Buat masa kita masih menunggu laporan bedah siasat (mayat) sementara operasi mencari seorang lagi yang hilang diteruskan,” katanya pada sidang media ketika meninjau lokasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai Batu 5, Port Dickson, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis serta wakil pihak penganjur.

Menurut Syed Saddiq, beliau sudah berkunjung ke Hospital Port Dickson bagi bertemu rakan kepada mangsa (Tham Wei Wong, 39) untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Saya juga sudah menghubungi ibu Tharm di Pulau Pinang dan menzahirkan simpati atas insiden. Siasatan awal mendapati faktor penyebab kejadian adalah jarak renangan terlalu jauh, ombak dan angin kuat,” katanya.

Insiden hari ini adalah yang kedua berlaku membabitkan peserta Port Dickson International Triathlon apabila seorang peserta lemas ketika melakukan rutin sama pada 20 Ogos 2016.

Mangsa Luye kien Beng, 42, dari Kuala Lumpur lemas selepas dua minit peserta dilepaskan pada jam 7.50 pagi untuk acara renang sejauh 750 meter.

Berita berkaitan

Peserta triatlon Hong Kong dikhuatiri lemas

Peserta triatlon lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 6:42 PM