AMINUDDIN (dua kiri) melawat lokasi kejadian, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
AMINUDDIN (dua kiri) melawat lokasi kejadian, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


“INI adalah kemalangan bukan kecuaian,” kata Menteri Besar Aminuddin Harun yang mengulas insiden peserta lemas dan seorang masih hilang ketika menyertai Port Dickson International Triathlon 2018 di Pantai Batu 5, Port Dickson, hari ini.

Beliau yang mewakili penganjur Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) berkata, aspek keselamatan sentiasa dititikberatkan termasuk dalam penganjuran edisi ke-17 itu.

“Selama ini program dianjurkan tiada masalah. Apa yang berlaku adalah insiden yang tidak dapat dielakkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Norazam Khamis.

Menurut Aminuddin, pihak penganjur menempatkan pasukan pengiring dan penyelamat mencukupi bagi setiap acara renang, berbasikal dan larian.

“Malah pihak keluarga mendiang (Tharm Wei Wong, 39) dan isteri peserta dari Hong Kong menerima ketentuan ini sebagai tragedi bukan kecuaian. Mereka juga berpuas hati dengan bantuan ditawarkan pihak penganjur,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa itu perlu mendapat kebenaran kerajaan, Aminuddin berkata, beliau akan menyemak perkara berkenaan.

“Saya akan dapatkan maklumat daripada pihak penganjur mengenai perkara ini. Lagipun sudah 17 kali ia dianjurkan dan semuanya berjalan lancar,” katanya

Katanya, pihaknya akan bekerjasama selepas kementerian itu akan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat sama ada penganjuran program bercanggah dengan Akta Pembangunan Sukan 1997.

Sementara itu, Norazam berkata, pencarian peserta yang hilang, Yuen Chi Yuen, 42, dari Hong Kong diteruskan sehingga jam 10 malam ini membabitkan Unit Skuba.

“Operasi turut dilakukan di pesisir pantai dan jika belum dijumpai, kita sambung (SAR) pagi esok sehingga mangsa ditemui,” katanya.

Terdahulu, mayat Tharm dari Pulau Pinang ditemui terapung oleh pasukan pengiring pada jam 8 pagi dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

KBS arah siasat insiden lemas

Peserta triatlon Hong Kong dikhuatiri lemas

Peserta triatlon lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 8:14 PM