IBU tunggal, Azizah Yusoff, 45, bersama dengan anaknya, Mohamad Rizal Asman, 10 berteduh di rumah milik ibu saudaranya sejak 10 tahun lalu di Kampung Gong Dermin, Pasir Tumbuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
IBU tunggal, Azizah Yusoff, 45, bersama dengan anaknya, Mohamad Rizal Asman, 10 berteduh di rumah milik ibu saudaranya sejak 10 tahun lalu di Kampung Gong Dermin, Pasir Tumbuh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


BERAT mata memandang berat lagi bahu memikul. Itu gambaran yang tepat bagi ibu tunggal yang menanggung tiga anak selepas ditinggalkan suami lapan tahun lalu.

Azizah Yusoff, 45, baharu sebulan diberhentikan kerja sebagai pembantu kedai makan di Pasir Tumboh, Kota Bahru, dan kini masih buntu mencari kerja untuk meneruskan hidupnya termasuk tiga anak yang masih bersekolah.

Azizah yang tidak memiliki sebarang pengangkutan berkata, kesukaran itu menyebabkan dia sukar dapat kerja dan atas alasan itu juga dia diberhentikan kerja.

Katanya lagi, ketiga-tiga anaknya juga kerap tiba lewat ke sekolah, malah ada masanya gagal hadir kerana tiada sesiapa yang dapat menumpangkan mereka.

"Biasanya saya meminta bantuan saudara-mara yang terdekat untuk menghantar dua anak yang berusia 10 dan 13 tahun ke sekolah yang jaraknya kira-kira dua kilometer, manakala anak sulung berusia 15 tahun pula menumpang rakannya.

"Adakalanya anak bongsu dan kedua kerap tiba lewat ke sekolah namun pihak sekolah sudah dimaklumkan mengenai kesukaran pengangkutan yang kami alami ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Gong Dermin, Pasir Tumboh, di sini.

Beliau berkata, sebelum ini dia meminjam motosikal daripada bapa saudara untuk berulang alik ke tempat kerja yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Dia juga kerap kali membaca dua anaknya ke tempat kerja untuk menemaninya berikutan kedai makan itu ditutup pada 1 pagi.

Azizah dan tiga anaknya yang menumpang berteduh di rumah milik ibu saudaranya sejak 10 tahun lalu berkata, dia kini langsung tidak mempunyai pendapatan dan bernasib baik saudara-mara ada tampil membantu menghulurkan sumbangan sedikit sebanyak.

Menurutnya lagi, sudah banyak permohonan bantuan zakat dibuat, namun sehingga kini tiada pihak yang memberi maklum balas.

"Apa yang saya risaukan jika kemiskinan kami ini mengganggu pembelajaran anak.

“Buat masa ini, saya masih mampu lagi memberi wang saku (hasil simpanan gaji dari kerja terdahulu) kepada mereka walau tidak seberapa.

"Anak sulung akan menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini dan yurannya masih belum dilangsaikan," katanya.

Bagi sesiapa yang ingin berhasrat untuk menyumbangkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun BSN milik Azizah iaitu 03003-41-00011067-9.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 1:52 PM