RABAAH hilang sejak seminggu lalu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
RABAAH hilang sejak seminggu lalu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Kuala Pilah: Ibu kepada wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak seminggu lalu yakin anak tunggalnya itu masih selamat dan berada di sekitar pekan Kuala Pilah.

Azizah Husin, 56, bagaimanapun bimbang dengan keadaan anaknya itu berikutan Rabaah Laily, 33, bergantung kepada ubat-ubatan selain pesakit psikiatri.

Katanya, Rabaah juga OKU pekak dan bisu turut mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Setiap hari dia perlu makan ubat dan jika tidak dia mungkin menjadi gelisah dan sedikit agresif.

"Sebelum ini dia pernah menghilangkan diri namun tidak pernah selama ini. Paling lama dua atau empat jam saja dan tidak pernah pergi jauh dari rumah.

"Usaha mengesan anak terus dipergiatkan terutama di sekitar Kuala Pilah serta turut mendapatkan bantuan daripada saudara-mara selain hebahkan di media sosial," katanya ketika di rumahnya di Juasseh.

Azizah berkata, anaknya itu hilang ketika dia sedang menunggu giliran untuk mengambil ubat di Farmasi Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini.

Katanya, dia yakin anaknya masih ada di pekan Kuala Pilah dengan memakai tudung berwarna coklat belang hitam, berbaju lengan panjang warna coklat belacan dan berseluar coklat.

Azizah turut meminta bantuan orang ramai supaya menghubunginya segera sekiranya melihat anak gadisnya itu ataupun mempunyai maklumat mengenai di talian 011-2355 8801 ataupun balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, polis menerima laporan berhubung kehilangan Rabaah pada Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 4:46 PM