Shahrinnahar Latib


AKIBAT gelap mata selepas ditawarkan pelbagai hadiah berharga dan wang tunai oleh kenalan yang baru dikenali di Facebook, seorang kerani di Lipis kerugian RM128,300 diperdaya sindiket Love Scam.

Kejadian bermula 6 April lalu apabila mangsa yang berusia 20 tahun berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Lee Yun Micheal, menetap di Amerika Syarikat (AS).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata sebagai tanda perkenalan, suspek mahu menghadiahkan mangsa baju, kasut, beg tangan, emas putih, minyak wangi, telefon bimbit, gelang tangan, jam tangan, barang kemas dan mata wang asing bernilai RM111,838 (USD28,000)

“Pada 11 Mei lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai ejen kastam dan memaklumkan mangsa menerima barangan dari luar negara serta mengarahkannya membayar cukai sebanyak RM4,800.

“Pada hari sama, mangsa membuat pemindahan wang menggunakan perbankan atas talian ke akaun Maybank yang diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selepas itu, suspek menghubungi mangsa lagi dan memintanya membuat pelbagai bayaran untuk mendapatkan sijil mata wang luar negara, wang penghantaran barang dan pembayaran kos pengangkutan.

“Untuk tujuan itu, bermula pada 11 Mei sehingga 1 Jun lalu, mangsa membuat 10 transaksi ke tiga akaun berbeza yang diberikan suspek, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM128,300,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas memasukkan wang sebanyak itu, mangsa mula menyedari dia sudah ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, semalam.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan hadiah pelbagai jenis dari luar negara sebagai tanda pengenalan sebelum menyamar sebagai ejen kastam dan meminta bayaran daripada mangsa.

“Kita sudah merakam percakapan mangsa dan tiga suspek sudah dikenal pasti berdasarkan akaun bank diberikan,” katanya memberitahu wanita itu menjadi mangsa sindiket Love Scam yang aktif memperdaya wanita.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 1:54 PM