Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Takut dikenakan tindakan mahkamah selepas didakwa mempunyai tunggakan cukai, seorang wanita di Lipis tidak sedar dirinya terjerat sindiket Macau Scam hingga rugi RM81,133.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula 24 Januari lalu selepas mangsa berusia 36 tahun menerima panggilan telefon daripada wanita memperkenalkan diri pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, mangsa hanya sedar ditipu, semalam dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis.

"Sebelum itu, suspek mendakwa mangsa ada tunggakan cukai selama 15 bulan sebanyak RM38,600.90 kerana menubuhkan sebuah syarikat, dan untuk menyelesaikan masalah itu dia disambungkan kepada pegawai LHDN di Cyberjaya yang didakwa pegawai operasi cukai.

"Panggilan itu turut disambung kepada lelaki mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan nama Inspektor Azman dan mangsa turut dikatakan terbabit dalam kes pengubahan wang haram bernilai RM228,000 menerusi akaun yang dibuka atas namanya.

"Suspek menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah itu sebelum mangsa menyerahkan maklumat akaun perbankannya kepada lelaki itu untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas itu mangsa cuba mengakses semula akaun secara dalam talian namun, gagal dan dia mendapati terdapat beberapa pindahan wang yang tidak diketahui.

Katanya, mangsa membuat laporan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 10:59 AM