Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shahrinnahar Latib


Kuantan: Demi cinta kepada seorang lelaki yang baharu dikenali di dalam sebuah aplikasi mencari jodoh, seorang wanita di Jerantut terpaksa menanggung kerugian RM418,400 selepas diperdaya sindiket Love Scam.

Pada 22 Disember tahun lalu, mangsa yang berusia 28 tahun menerima mesej melalui aplikasi itu daripada seorang lelaki yang yang memperkenalkan diri sebagai 'Khalish'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memaklumkan dia seorang Melayu Islam dan menetap di Perancis serta bekerja sebagai ahli perniagaan.

"Kemudian, mangsa dan suspek berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Pada 26 Disember lalu, suspek memaklumkan mahu memberi hadiah wang kepada mangsa dan memintanya memberikan nombor akaun bagi tujuan pemindahan wang.

"Mangsa kemudian memberikan nombor akaunnya kepada Khalish sebelum suspek menghantar sekeping gambar cek yang berjumlah 18,000 Euro (RM8,8018)," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, pada 27 Disember lalu, mangsa menerima satu e-mel yang kononnya mendakwa dia akan menerima wang berjumlah RM89,700 dan perlu membuat pembayaran berjumlah RM2,000.

"Setelah mangsa membuat pembayaran, Khalish sering meminta wang proses bagi hadiah wang berjumlah RM89,700.00 itu. Mangsa mempercayai segala yang dikatakan oleh lelaki berkenaan.

"Bermula 27 Disember sehingga 19 Februari lalu, mangsa membuat 44 transaksi dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM418,400 menerusi sembilan akaun bank," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih belum menerima wang dijanjikan sebelum dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, semalam.

Katanya lagi, siasatan mendapati mangsa dipercayai menggunakan duit simpanan ibunya untuk membayar wang kepada suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 10:01 AM