Shahrinnahar Latib


NIAT murni penyelia kebun sayur di Cameron Highlands untuk membantu rakan wanita yang baru dikenali di WeChat membawa padah apabila kerugian RM24,300 akibat diperdaya sindiket love scam.

Walaupun tidak pernah bertemu, lelaki berusia 35 tahun itu sanggup meletakkan kepercayaan kepada wanita berkenaan yang merayu untuk meminjam sejumlah wang daripada mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berasal dari Tanah Rata, Cameron Highlands itu dikatakan berkenalan dengan wanita bernama Saowapa di WeChat, sejak Jun lalu sebelum menjadi mangsa.

“Dalam tempoh perkenalan, suspek meminta mangsa memasukkan wang sebanyak RM5,000 untuk mengubati penyakit ayahnya di Thailand. Disebabkan simpati dengan keadaan ayah wanita itu, mangsa memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas itu suspek meminta lagi wang daripada mangsa dengan pelbagai alasan termasuk kononnya untuk kegunaan dia menyara hidup bersama keluarga selepas kematian emaknya.

“Bagi tujuan berkenaan, mangsa membuat 17 kali pindahan wang ke lima akaun berbeza yang diberikan oleh suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM24,300,” katanya.

Katanya, selepas memasukkan semua wang berkenaan, mangsa tidak dapat menghubungi suspek dan menyedari ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, semalam.

Beliau berkata, modus operandi suspek ialah berkenalan dan menjalin hubungan dengan mangsa melalui WeChat hingga lelaki berkenaan memasukkan duit ke dalam akaun diberikan.

“Lelaki ini dipercayai menjadi mangsa sindiket love scam yang menggunakan kata-kata manis. Polis sudah merakam percakapan mangsa untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang memburu semua suspek termasuk enam pemilik nombor akaun yang digunakan untuk pemindahan wang dan sudah kenal pasti enam pemilik akaun berkenaan dan kini mengesan semua individu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 1:46 PM