Fazilah dan rakan-rakannya mengedarkan makanan kepada gelandangan di sekitar Seremban. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Fazilah dan rakan-rakannya mengedarkan makanan kepada gelandangan di sekitar Seremban. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“SAYA pernah merasa hidup susah, sebab itu saya akan meneruskan program membantu mereka yang memerlukan," kata Fazilah Mohamad, 45, ibu tunggal yang aktif memasak di Taman Bukit Nibong, Sikamat, Seremban sebelum mengedarkan makanan kepada gelandangan di sekitar daerah ini.

Fazilah berkata, aktiviti itu dijalankannya sejak 2014 bersama Gabungan Chef-Chef Negeri Sembilan dan makanan diedar pada waktu berbuka puasa serta tengah malam.

Bekas chef di Hotel Bendahara Makmur, Melaka itu berkata, dia yang tujuh tahun bergelar ibu tunggal memahami kesukaran hidup golongan senasib termasuk gelandangan yang tiada tempat berteduh.

Fazilah Mohamad. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Fazilah Mohamad. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

"Selepas bercerai pada 2011, saya merasakan keperitan membesarkan enam anak berusia tujuh hingga 22 tahun. Ketika itu saya berazam membantu golongan memerlukan melalui pengalaman kerja yang dimiliki," katanya.

Menurut Fazilah, dia membeli barang keperluan dan memasak di rumah sebelum diedarkan dengan bantuan rakan-rakannya.

"Ini program tahun keempat dan saya akan memasak untuk diedarkan setiap kali Ramadan. Aktiviti di Seremban dan Kuala Lumpur ini tidak hanya terhad pada bulan puasa tetapi pada bulan yang lain," katanya.

 Ibu Tunggal, Fazilah Mohamad aktif memasak dan edarkan makanan kepada ibu tunggal lain dan gelandangan yang kesusahan. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Ibu Tunggal, Fazilah Mohamad aktif memasak dan edarkan makanan kepada ibu tunggal lain dan gelandangan yang kesusahan. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Fazilah yang juga peniaga kecil-kecilan berkata, dia memerlukan dana meneruskan aktiviti dan turut menerima sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) bernilai RM200 setiap bulan.

"Sumbangan ini digunakan bagi menyediakan makanan untuk diedarkan. Biarpun sebagai ibu tunggal, saya sendiri tidak pernah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal," katanya.

Katanya, dia tidak terlalu mengharapkan bantuan bulanan dua badan itu dan berusaha cara lain untuk membantu golongan senasib.

Menurutnya, pada Jumaat dan Sabtu ini, dia akan memasak dan mengedarkan ratusan pek makanan untuk diedarkan kepada gelandangan serta ibu tunggal di Lobak, Rasah, Senawang dan Pekan Seremban, di sini.

Orang ramai yang mahu menyumbang dan beramal ibadat pada Ramadan ini boleh menghubungi Fazilah di talian 016-6527393 atau melalui akaun Alliance bank miliknya bernombor 05017-0-02-978116-1.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 3:35 PM