KEADAAN rumah mangsa yang dilanda ribut di Kampung Landak Hilir, Kupang. FOTO Safuri Kamarudin
KEADAAN rumah mangsa yang dilanda ribut di Kampung Landak Hilir, Kupang. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: "Saya sedang solat Asar ketika hujan lebat dan ribut melanda menyebabkan bumbung rumah tercabut dan diterbangkan angin," kata Fazilah Hasan, 64, mangsa ribut yang melanda Kampung Landak Hilir, Kupang, semalam.

Fazilah berkata, hampir semua bumbung di bahagian hadapan rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu.

"Selesai solat Asar, saya lihat bilik dan ruang rumah dipenuhi air menyebabkan banyak perkakas rosak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian suaminya, Abd Rahim Taib, 70, dan anak, Muhammad Baihaqi, 25, sedang berehat di ruang tamu.

"Secara tiba-tiba angin kuat melanda sehingga bumbung rumah tercabut dan air hujan mencurah masuk hampir 30 minit," katanya.

Menurutnya, kejadian yang pertama kali berlaku itu turut menyebabkan dia tidak dapat menyediakan juadah berbuka untuk keluarga, namun mujur ada jiran menghulurkan makanan.

Seorang lagi penduduk, Mohd Azuan Salleh, 44, berkata ketika kejadian dia ke Kupang untuk membeli juadah berbuka puasa sebelum hujan lebat dan ribut melanda.

Katanya, ketika kejadian isteri, Intan Nor Shafinaz Sidik, 34, berada di Kuala Ketil kerana sedang bekerja.

"Saya hanya mampu menggelengkan kepala melihat banyak bumbung rumah 'hilang' dan perabot rumah pula rosak," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling, Kapten (PA) Rasidah Kassim, berkata sekurang-kurangnya 35 rumah penduduk di Pulai dan Kupang terjejas akibat kejadian ribut itu.

"Tiada kecederaan dilaporkan berlaku, namun terdapat rumah penduduk mengalami kerosakan dan pokok tumbang menyebabkan laluan terhalang.

"Kos kerosakan dan jumlah sebenar rumah yang terjejas juga masih dalam proses pengiraan serta penilaian," katanya.

Semua mangsa yang terjejas turut menerima bantuan makanan yang diagih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling dan Pejabat Ahli Parlimen Baling.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 1:24 PM