FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Rizal Abdullah


WARGA Indonesia menemui ajal selepas terjatuh dari lori sawit dinaikinya sebelum digilis kenderaan itu dalam kejadian di ladang sawit di Bakong, Marudi, petang semalam.

Dalam kejadian 3.20 petang itu, Baket Daeng Seran, 43, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di seluruh tubuhnya, terutama bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa terjatuh dari tempat duduk penumpang sebelum digilis lori dinaikinya.

“Mangsa bersama beberapa rakan sekerjanya duduk di tempat duduk penumpang. Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba terjatuh ke bahagian bawah lori pengangkut sawit itu sebelum digilis.

“Rakan sekerjanya cuba menyelamatkan mangsa, namun gagal kerana kejadian berlaku terlalu pantas. Mangsa cedera teruk di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Alexson berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Marudi untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan ladang untuk urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 3:20 PM