Muhamaad Razis Ismail dan Mohd Zulkifli Zainuddin


“ISTERI rakan saya tiba-tiba menjerit sebaik melihat mangsa terjatuh dari kereta dan terbaring di belakang kenderaan saya,” kata Rizal Yaakob, 47, saksi kejadian kanak-kanak lelaki berusia dua tahun digilis kereta bapanya di Kota Bharu, semalam.

Dalam kemalangan jam 10.30 malam, Muhammad Rayyan Rizqi Mohd Fakhrul Zaman maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Sebelum itu, bapanya dikatakan cuba menyelamatkan anaknya yang menyandar di pintu penumpang hadapan dari terjatuh sebaik ibu mangsa membuka pintu kereta terbabit.

Akibat terkejut, bapa mangsa tertekan pedal minyak menyebabkan mangsa yang terjatuh kemudian digilis.

Rizal berkata, sebaik mendengar jeritan itu, dia terus keluar dari restoran sebelum melihat mangsa terbaring berlumuran darah, sementara kereta bapa kanak-kanak berkenaan berada di pembahagi jalan.

“Sebaik selesai makan jam 10 malam (semalam), isteri bersama anak rakan yang sedang melihat pemandangan luar dari tingkat atas restoran, tiba-tiba menjerit selepas melihat seorang kanak-kanak terbaring di belakang kereta Proton Persona saya.

“Pada mulanya, rakan saya panik kerana menyangka anaknya terjatuh, namun sebaik kami bergegas keluar dari restoran, saya terkejut apabila melihat seorang kanak-kanak tidak dikenali terbaring berlumuran darah sehingga terkena tayar kereta saya,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Pesara tentera itu berkata, kenderaan bapa mangsa yang secara tiba-tiba mengundur sehingga ke pembahagi jalan turut hampir dilanggar sebuah bas ekspres.

“Selepas memeriksa saya dapati pintu sebelah pemandu kereta saya kemek dilanggar Proton Iriz terbabit.

“Saya turut simpati dengan kejadian malang menimpa keluarga itu," katanya.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga yang ditemui di rumah mangsa di Kampung Repek di Kota Bharu, berkata ibu bapa mangsa masih bersedih dengan kejadian terbabit.

“Saya baru sahaja sampai di kampung selepas dimaklumkan kejadian itu.

“Setakat ini saya minta semua pihak faham kerana ibu bapa mangsa masih bersedih dan belum bersedia untuk memberi sebarang kenyataan,” katanya.

Berita berkaitan

Tergilis anak

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 7:05 PM