GAMBAR dan status yang dimuat naik oleh lelaki yang memfitnah anggota polis trafik di Facebook, Ahad lalu. FOTO Ihsan Pembaca
GAMBAR dan status yang dimuat naik oleh lelaki yang memfitnah anggota polis trafik di Facebook, Ahad lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan selepas didakwa memuat naik status di Facebook memfitnah anggota polis trafik Ahad lalu.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, anggota polis, 53, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh dimaklumkan oleh rakannya berhubung status itu yang tular sejak semalam.

Status dan gambar anggota polis terbabit dengan ayat 'Roadblock di Aman Putri berhati-hati.. ni semua jenis nak makan duit tepi lagi-lagi orang dalam gambar ni... ' dimuat naik dalam sebuah kumpulan di Facebook.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu berkata, mangsa sebelum itu bertugas dalam Operasi Pelbagai Kesalahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sungai Buloh di persimpangan lampu isyarat di Aman Putri, Sungai Buloh, Jumaat lalu.

“Difahamkan, mangsa (anggota polis) menahan kenderaan dinaiki lelaki terbabit dalam operasi itu. Mangsa dimaklumkan oleh rakannya mengenai gambarnya dan status dimuat naik lelaki terbabit tular di Facebook sebelum membuat laporan polis. Bagaimanapun, status terbabit didapati sudah dipadam.

"Mangsa membuat laporan polis bagi menafikan kenyataan dalam status dimuat naik oleh individu berkenaan yang boleh menjatuhkan reputasinya sebagai anggota polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Somu berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, pihak polis kini sedang mengesan pemilik akaun bernama Hafizi Rusli yang memuat naik gambar dan status berkenaan bagi membantu siasatan.

“Lelaki terbabit diminta tampil ke IPD Sungai Buloh untuk diambil keterangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 9:22 PM