Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Husna Alias

POLIS merampas 435 botol arak tiruan pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah premis di Seksyen U5, Bandar Suria, Kampung Baru Subang di Sungai Buloh, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu berkata, serbuan pada jam 9 malam itu turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dipercayai pemilik premis.

“Premis serbaneka itu dipercayai menjual arak tiruan termasuk jenama yang menjadi punca keracunan yang menyebabkan kematian.

“Hasil pemeriksaan mendapati arak berkenaan dijual di bahagian belakang kedai bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hari ini.

Somu berkata, arak tiruan berkenaan masih mendapat permintaan daripada pelanggan, terutama warga asing.

“Walaupun jumlah kematian meningkat pada setiap masa namun masih tidak ada kesedaran dari pelanggan dan penjual kerana arak tiruan masih berada di pasaran.

“Polis memberi amaran terutama kepada pemilik kedai yang masih menjual arak tiruan ini supaya menghentikan kegiatan berkenaan,” katanya.

Katanya, sejak 18 September lalu, sebanyak 11 serbuan sudah dijalankan di daerah ini dan lima daripadanya adalah serbuan berjaya.

“Sebanyak 836 botol arak tiruan berjaya dirampas dalam operasi sejak 18 September hingga 24 September.

“Hasil daripada serbuan itu seorang wanita warga Myanmmar dipercayai penjaga premis turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 30 tahun itu kini direman sehingga 1 Oktober ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Semua arak yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 4:13 PM