Mangga pintu terpaksa dipotong bagi membolehkan pemeriksaan dibuat. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Mangga pintu terpaksa dipotong bagi membolehkan pemeriksaan dibuat. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

 

[email protected]

SEPULUH premis judi dalam talian di sekitar Sungai Buloh didapati tidak lagi beroperasi selepas pemeriksaan menerusi Operasi Waran Geledah (Op Waran Geledah) mendapati ia sudah dikosongkan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Somu Subramaniam berkata, pihaknya mendapat waran geledah daripada Mahkamah Majistret Shah Alam untuk membuat pemeriksaan terhadap 10 premis yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan judi dalam talian di daerah itu.

"Dalam operasi yang bermula jam 10 malam tadi, seramai 23 pegawai dan anggota polis terbabit dengan kerjasama 12 anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuat pemeriksaan terhadap enam premis di Kampung Baru Subang dan empat premis di sekitar Sungai Buloh.

"Hasil pemeriksaan terhadap semua premis berkenaan mendapati ia sudah dikosongkan dan tiada sebarang rampasan dibuat," katanya yang mengetuai pemeriksaan operasi berkenaan.

Somu berkata, pihaknya akan meneruskan perlaksanaan operasi itu secara berterusan dalam usaha membanteras kegiatan judi dalam talian di daerah itu.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan judi dalam talian di Sungai Buloh boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 3:01 AM