Mohamed Basyir


DEWAN Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan secara rasmi hari ini, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.

Pengumuman pembubaran dibuat Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang dan disaksikan Timbalan Yang Dipertua, Maktar Shapee serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Choo Kiang berkata, pentadbiran kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng kini menjadi kerajaan sementara dengan semua gaji dan elaun dibayar penuh sehingga pentadbiran baharu dibentuk.

“Sepanjang tempoh ini, peranan mereka hanya membabitkan tugas pentadbiran saja dan sebarang keputusan membabitkan polisi tidak boleh dibuat.

“Saya akan memperingatkan kerajaan sementara ini sepanjang tempoh berkenaan,” katanya pada sidang media khas di DUN Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Notis pembubaran DUN Pulau Pinang akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

SPEAKER DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang (tengah) bersama Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang,  Maktar Shapee (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus menunjukkan watikah pembubaran DUN Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
SPEAKER DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang (tengah) bersama Timbalan Speaker DUN Pulau Pinang, Maktar Shapee (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus menunjukkan watikah pembubaran DUN Pulau Pinang. FOTO Danial Saad

Choo Kiang berkata, Sidang DUN Pulau Pinang akan diadakan dalam tempoh 120 hari dari tarikh pembubaran.

Sementara itu, Farizan memaklumkan kenderaan rasmi yang digunakan 16 Ahli EXCO termasuk yang digunakan Ketua Menteri dan Yang Dipertua DUN Pulau Pinang akan diserahkan petang esok.

Semalam, Guan Eng bertemu Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas bagi memohon kebenaran membubarkan DUN Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu, mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Sabtu lalu, bagi membolehkan PRU-14 diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 1:27 PM