SUKARELAWAN yang terbabit dalam program Rumah Ihsan Johor di Kampung Pok Besar Gelang Patah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SUKARELAWAN yang terbabit dalam program Rumah Ihsan Johor di Kampung Pok Besar Gelang Patah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
HM Digital

Gelang Patah: “Saya terkejut dan bersyukur terpilih menerima Rumah Ihsan Johor ke-28 dan dapat memiliki kediaman sendiri selepas seumur hidup menetap di rumah pusaka berusia 80 tahun ini,” luah pemandu lori, Zainal Mohd Saad, 55.

Zainal, bapa kepada lima anak dan menetap di Kampung Pok, di sini, berkata, dia tidak pernah menyangka dipilih menerima Rumah Ihsan Johor dan menganggap ia sebagai satu rezeki buat dirinya sekeluarga.

“Saya dimaklumkan ketua kampung dalam tiga minggu sebelum ini dan kelmarin (Jumaat lalu) kumpulan sukarelawan Ihsan Johor bersama sukarelawan Forest City datang ke kawasan rumah pusaka saya untuk pembinaan rumah baru ini.

“Perasaan saya tidak terkata, gembira dan bersyukur menerima rumah baru. Saya akan diami rumah ini manakala ibu bapa saya dapat menetap dengan selesa di rumah pusaka keluarga kami,” katanya pada majlis penyerahan Rumah Ihsan Johor ke-28 di Kampung Pok di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik.

Turut hadir, Presiden Ihsan Johor, Suhaimi Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Ihsan Johor, Farrah Faridah Baptist dan Timbalan Pengarah Urusan Country Garden Pacificview (CGPV), Ir Syarul Izam Sarifudin.

Zainal berkata, dengan pendapatan gaji pokok RM1,000 sebulan, dia tidak pernah terfikir mampu memiliki kediaman selesa untuk menetap bersama keluarga.

“Rezeki tanpa diduga ini memberi satu nafas baru kepada keluarga kami,” katanya.

Projek Rumah Ihsan Johor ke-28 dengan keluasan 55.7 meter persegi itu dibina dalam masa tiga hari oleh 50 sukarelawan.

Mereka terdiri daripada pelajar Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kolej Politeknik Metro Johor Bahru, Kolej Sayong Didik dan kakitangan CGPV serta Forest City Golf Hotel.

Rumah berkenaan hasil tajaan dan sumbangan penuh oleh CGPV dan ia adalah fasa pertama antara lima rumah yang ditaja CGPV menerusi Rumah Ihsan Johor membabitkan jumlah keseluruhan RM250,000.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CGPV, Datuk Md Othman Yusof berkata, CGPV sentiasa membuka ruang dan peluang untuk masyarakat tempatan menikmati limpahan pembangunan Forest City.

“Saya amat berterima kasih kepada penduduk Gelang Patah di atas keterbukaan mereka menerima baik pembangunan Forest City yang memberi manfaat seperti peluang perkerjaan, perniagaan dan peningkatan taraf kehidupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 8:10 PM