OTHMAN (kanan) menerima replika cek daripada Aeron untuk program amal Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di Balai Berita Kuala Lumpur, semalam. FOTO Sairien Nafis
OTHMAN (kanan) menerima replika cek daripada Aeron untuk program amal Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di Balai Berita Kuala Lumpur, semalam. FOTO Sairien Nafis
Farah Marshita Abdul Patah


BERKONGSI rezeki. Itulah konsep diterapkan Country Garden Pacific Views Sdn Bhd apabila tampil menaja program amal Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bagi menyantuni penduduk terutama golongan kurang bernasib baik di kawasan Forest City, dekat Gelang Patah, Johor, yang sedang dimajukannya.

Ini adalah tahun kedua berturut-turut CGPV menjadi penaja utama TKHM dan tahun ini, syarikat pemaju itu menyumbangkan RM100,000 bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh Harian Metro.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat di Jabatan Strategi Forest City, Aeron Munajat berkata, penajaan itu adalah sebahagian usaha CGPV untuk menyumbang kembali kepada masyarakat tempatan terutama di kawasan Gelang Patah mengikut konsep berkongsi rezeki.

"Usaha ini juga sejajar dengan aspirasi Forest City untuk berkongsi limpahan hasil pembangunan dan membangunkan komuniti tempatan di sini.

"Sebagai contoh, Hotel Forest City Golf yang bakal dilancarkan tidak lama lagi turut mengambil 100 peratus tenaga kerja terdiri daripada penduduk tempatan," katanya pada majlis penyerahan replika cek kepada Pengarang Eksekutif Projek Khas NSTP Othman Mamat di Balai Berita, Kuala Lumpur, semalam.

Aeron berkata, pada tahun ini Forest City akan menyantuni 200 anak yatim dan pelajar miskin serta 50 keluarga kurang berkemampuan yang sudah dikenal pasti di sekitar mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah.

Selain itu, setiap lima masjid di mukim sama dipilih untuk menerima sumbangan wang tunai RM2,000 bagi menyediakan juadah moreh sepanjang Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Kita akan berkongsi kegembiraan bersama penduduk setempat bagi menyambut Ramadan dan seterusnya merayakan Aidilfitri seperti yang dilakukan pada tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Othman yang juga Pengerusi TKHM berkata, seramai 200 anak yatim dan pelajar miskin akan dibawa ke pasar raya besar berhampiran bagi memilih sendiri pakaian dan kelengkapan hari raya mereka.

Katanya, setiap anak yatim dan pelajar miskin diperuntukkan RM150 untuk membeli baju raya, selain bakal menerima duit raya sebanyak RM100 setiap seorang.

"Pihak penganjur turut menyumbangkan #KotakRezeki yang mengandungi pelbagai barang keperluan harian serta duit raya sebanyak RM300 kepada 50 keluarga miskin yang terpilih," katanya.

Titipan Kasih adalah program tanggungjawab sosial HM untuk membantu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama antaranya melalui program gotong-royong, bantuan kembali ke sekolah, majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung dan solat tarawih berjemaah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 7:51 PM