ZAINI Abu Bakar (belakang, dua kanan) diiringi Aeron (belakang, kanan) bersama wakil penduduk sempena program penyerahan sumbangan Aidiladha. FOTO ihsan Country Garden Pacificview
ZAINI Abu Bakar (belakang, dua kanan) diiringi Aeron (belakang, kanan) bersama wakil penduduk sempena program penyerahan sumbangan Aidiladha. FOTO ihsan Country Garden Pacificview
Ibrahim Isa


COUNTRY Garden Pacificview (CGPV), pemaju Forest City Gelang Patah, Johor, menyerahkan 13 lembu untuk diagihkan kepada sembilan perkampungan Orang Asli di kawasan berhampiran Forest City, semalam.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat CGPV, Aeron Munajat berkata, semua 13 lembu itu diserahkan kepada Tok Batin Kampung Paya Desa Mengkuang; Kampung Tanjung Adang; Kampung Tiram Duku; Kampung Pok; Kampung Tanjung Kupang; Kampung Pekajang; Kampung Pendas; Kampung Simpang Arang dan Kampung Baru Muafakat.

Katanya, semua lembu itu diberikan sempena sambutan Aidiladha esok dan ia sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Menurutnya, selain memastikan pembangunan pesat di kawasan Forest City,CGPV sentiasa menitikberatkan kebajikan dan kemudahan asaspenduduk di kawasan berhampiran dengan memberikan bantuan sesuai setiap tahun.

"Usaha ini seiring dengan konsep keterangkuman diterapkan Forest City dalam membangunkan penduduk dan kemudahan kawasan sekitar," katanya selepas menyerahkan 13 lembu itu di Kampung Simpang Arang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr Zaini Abu Bakar.

Dr Zaini berkata, tindakan CGPV membantu penduduk tempatan wajar dicontohi syarikat lain bagi memastikan pelbagai lapisan masyarakat dapat merasai pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, walaupun menerima pelaburan sebanyak USD 100 bilion (RM450 billion) pemaju tidak pernah memandang ringan kebajikan dan keperluan penduduk setempat serta memberikan bantuan bagi membangunkan modal insan serta kemudahan asas untuk menambah kualiti hidup masyarakat tempatan.

#kw Orang Asli dapat lembu

#Forest City, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 8:25 PM