DR Sazaly
DR Sazaly
Garret Dawum


Kuala Lumpur: Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) dijangka diatasi apabila vaksin penyakit itu dibangunkan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya.

Ketua Penyelidiknya, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, pembangunan vaksin dengan kerjasama sebuah kolej perubatan di Amerika Syarikat memasuki percubaan klinikal yang mengambil kira kesan atau impak vaksin serta etika halal.

“Kami menjalankan kajian sejak 2016 terhadap 1,800 jemaah haji yang mengadakan saringan kesihatan iaitu pemeriksaan tahap kesihatan termasuk mengambil darah sebelum dan selepas ke Makkah.

“Hasil analisis makmal mendapati 0.3 peratus daripada kumpulan ini pernah dijangkiti MERS-CoV tetapi tidak membawa apa-apa simptom teruk.

“Mereka yang terdedah dengan MERS-CoV sangat sukar dikesan memandangkan ia sama dengan simptom mereka yang menghidap selesema biasa seperti demam, batuk dan sesak pernafasan,” katanya sambil memberitahu penularan wabak itu belum diketahui dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melawat haiwan atau menyentuhnya terutama unta.

Dr Sazaly berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Lembaga Tabung Haji dalam kajian itu.

“Namun kami masih memerlukan dana dan ramai sukarelawan untuk meneruskan kajian bagi mendapat keputusan tepat kerana bimbang tahap pendedahan lebih tinggi daripada anggaran yang diperoleh.

“Pemantauan MERS-CoV perlu dilakukan secara berterusan kerana mengambil iktibar penularan Ebola yang melumpuhkan Afrika Tengah.

“Di Korea pula, hanya seorang rakyatnya menghidap MERS-CoV tetapi menyebabkan 185 lain meninggal dunia hingga melumpuhkan 18 peratus ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, bakal haji atau mereka yang ingin mengerjakan umrah perlu melakukan saringan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 7:13 AM