Siti A'isyah Sukaimi


SEORANG lelaki yang baru pulang mengerjakan umrah disahkan dijangkiti SSindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit berusia 55 tahun berasal dari Selangor itu pulang ke tanah air pada 23 Disember lalu selepas mengerjakan umrah.

Menurutnya, keesokan harinya, lelaki terbabit mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki.

"Pesakit mendapatkan rawatan dari klinik berhampiran rumahnya dan dia menerima rawatan sebagai kes demam.

"Kemudian, lewat malam pada 28 Disember, lelaki terbabit datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan dimasukkan ke wad HTAR untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Mengambil kira sejarah perjalanan pesakit baru kembali daripada menunaikan umrah, Dr Noor Hisham berkata, ujian saringan MERS-CoV dijalankan dan ia didapati positif.

Katanya, ujian saringan dijalankan oleh Hospital Sungai Buloh pada kelmarin serta ujian pengesahan seterusnya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), semalam yang masing-masing adalah positif.

Beliau berkata, ketika ini, pesakit berada dalam keadaan stabil dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut.

"Pesakit memaklumkan semasa berada di Tanah Suci, dia dibawa melawat ke ladang unta dan dia minum susu unta mentah serta bersentuhan dengan unta di ladang itu.

"Justeru, Kementerian Kesihatan sedang menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas kontak rapat (close contact) kepada pesakit seperti ahli keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan sama, anggota kesihatan di fasiliti kesihatan yang merawat serta kontak rapat dalam pesawat dinaiki oleh pesakit," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, amalan pencegahan dan kawalan infeksi dalam kalangan anggota kesihatan dipertingkatkan di semua peringkat di samping pemantauan terhadap status kesihatan anggota kesihatan yang terbabit dalam mengendalikan kes berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 5:05 PM