GAJAH yang dikesan menceroboh kawasan sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, di Telupid. FOTO Ihsan Pembaca
GAJAH yang dikesan menceroboh kawasan sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, di Telupid. FOTO Ihsan Pembaca
Poliana Ronnie Sidom


JABATAN Hidupan Liar Sabah akan menangkap dan memindahkan tiga gajah Pygmy Borneo yang berada di sekitar kawasan perkampungan di Telupid bagi mengurangkan konflik haiwan berkenaan dengan penduduk.

Tiga gajah itu dijangka dipindahkan ke Hutan Simpan Imbak, kira-kira 80 hingga 100 kilometer (km) dari sini.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata, tiga gajah bakal dipindahkan itu dikesan agak berbahaya dan sukar dikawal.

Katanya, ada 20 gajah dikesan di sekitar enam lokasi kawasan itu dengan 18 ekor bergerak dalam dua kumpulan, manakala dua lagi gajah tunggal.

“Kita hanya memindahkan tiga ekor yang agak berbahaya. Operasi menangkap dan memindahkan mungkin dilaksanakan minggu ini.

“Bagi memindahkan semua gajah di kawasan itu sekarang adalah mustahil kerana kos agak mahal. Perbelanjaan memindahkan seekor gajah ialah RM30,000,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Enam lokasi terdedah kepada risiko gangguan gajah ialah Kampung Liningkung, Kampung Bauto, Kampung Gambaron, Kampung Telupid, Pekan Telupid, selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid.

Kehadiran 20 gajah di kawasan itu dikesan berlarutan sejak awal tahun ini, dipercayai kumpulan sama menceroboh tahun lalu sebelum dipindahkan ke Hutan Simpan Deramakot.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Daerah Sandakan, Hussien Muin, berkata, syarikat pengendali projek Lebuh Raya Pan Borneo sudah bersetuju membantu membiayai kos pemasangan pagar elektrik sepanjang enam kilometer di Kampung Gambaron dan Bauto yang menjadi laluan hidupan liar berkenaan.

Katanya, pihak jabatan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam proses melatih belia dari Kampung Liningkung, Bauto serta Gambaron untuk dilantik sebagai warden hidupan liar kehormat.

Beliau berkata, warden terbabit akan bertanggungjawab memantau pagar elektrik itu apabila siap kelak daripada rosak atau tersentuh dahan dan pokok yang boleh mengurangkan kadar voltan.

“Kos pemasangan pagar elektrik dianggarkan kira-kira RM330,000. Pagar dijangka dipasang awal tahun depan,” katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan sekumpulan anak muda dari Kampung Gambaron mengambil inisiatif membuat meriam menggunakan paip polivinil klorida (PVC) atau ‘ladum’ dalam bahasa tempatan bagi menghalau gajah daripada mengganggu harta benda dan tanaman penduduk.

Gajah yang dikesan menceroboh kawasan sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid, di Telupid. NSTP/IHSAN PEMBACA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 11:10 AM