Poliana Ronnie Sidom


PENGGUNA di jalan Telupid-Tongod di Telupid, gempar apabila melihat anak gajah berkeliaran di laluan berkenaan, semalam.

Anak gajah terbabit dipercayai terpisah dengan kumpulannya ketika berada di sekitar kawasan hutan antara Kampung Gambaron dan hutan simpan Tawai, kira-kira jam 10 pagi.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, anak gajah terbabit terpisah dengan kumpulannya selama kira-kira dua jam sebelum diselamatkan anggota JHL yang berada di kawasan itu bagi mengawal hidupan liar berkenaan.

Katanya, kakitangan JHL kemudian membantu menyatukan semula anak gajah terbabit dengan kumpulannya yang berada di lokasi berhampiran.

“Anak gajah itu sudah disatukan semula dengan ibunya selepas dua jam berada jalan raya,” katanya ketika dihubungi di Telupid, hari ini.

Gambar dan video dimuat naik di laman sosial turut viral menunjukkan anak gajah berkenaan mundar-mandir di jalan raya.

Pengguna jalan raya juga terpaksa memperlahankan kenderaan selepas anak gajah dilihat cuba menyondol kenderaan yang lalu di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan kehadiran sekurang-kurangnya 20 gajah dalam dua kumpulan berlarutan di Telupid sejak awal tahun ini dan menceroboh beberapa kawasan termasuk dewan makan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid serta Balai Polis Telupid.

Laporan terdahulu, JHL sudah menangkap tujuh daripada gajah tersebut setakat 6 Mac, dan yang terakhir dipindahkan ke hutan simpan Imbak kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 1:24 PM
ANAK gajah kelihatan di jalan Telupid-Tongod dipercayai terpisah dengan kumpulannya. FOTO ihsan pembaca
ANAK gajah kelihatan di jalan Telupid-Tongod dipercayai terpisah dengan kumpulannya. FOTO ihsan pembaca