WANITA dipercayai cuba mencampur air kencing dengan air dalam Operasi bersepadu di Jalan Panji. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
WANITA dipercayai cuba mencampur air kencing dengan air dalam Operasi bersepadu di Jalan Panji. FOTO Mohamad Zulhairie Manzaidi
Mohamad Zulhairie Manzaidi


CUBAAN wanita mencampurkan air kencingnya dengan air paip, berjaya dihalang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kota Bharu dalam satu sekatan jalan raya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan, di Panji, di sini, malam tadi.

Wanita berusia lingkungan 20-an didapati positif dadah jenis Opiat ditahan dalam operasi bersepadu antara JPJ dan AADK.

Difahamkan wanita itu cuba mencampurkan air paip ke dalam air kencingnya ketika berada di dalam tandas, namun tindakannya itu disedari oleh pegawai AADK.

Timbalan Pengarah JPJ negeri, Md Apandi Jusoh berkata, sebelum itu, wanita terbabit ditahan dalam Perodua Viva yang berada di tepi jalan bersama seorang lelaki yang juga berusia 20-an.

Katanya, pihaknya bersama pegawai AADK menghampiri kereta itu sebelum mengarahkannya keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan.

"Wanita terbabit pada mulanya enggan berikan kerjasama, namun selepas diberikan amaran oleh pegawai AADK, dia akur untuk melakukan ujian air kencing.

"Hasil pemeriksaan kita dapati wanita terbabit positif opiat, manakala lelaki terbabit negatif.

"Kita turut menyita kereta Perodua Viva itu kerana cukai jalan tamat tempoh selama empat tahun," katanya ketika ditemui selepas Op Bersepadu sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di pejabat JPJ Panji, Kota Bharu, malam tadi.

Menurutnya, dalam operasi malam tadi, pihaknya mengeluarkan 153 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

"AADK juga turut menahan 10 lelaki didapati positif metamphetamine dalam operasi malam ini.

"Operasi bermula 8 malam sehingga 12 tengah malam diketuai pegawai JPJ, Syed Omar Syed Ahmad dan akan tamat pada 25 Februari nanti," katanya.

Md Apandi berkata, masih ramai pemandu di bawah pengaruh dadah ketika memandu kenderaan.

"Ia boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya, dan saya nasihatkan kepada orang ramai agar jauhi dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 3:13 PM