SUSPEK berbaring di lantai di dalam rumahnya. FOTO Ihsan AADK
SUSPEK berbaring di lantai di dalam rumahnya. FOTO Ihsan AADK
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Seorang lelaki memberi alasan kononnya dia diserang sakit jantung dan berbaring di atas lantai ketika anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Yan melakukan pemeriksaan di rumahnya di Kampung Mat Acheh, di sini, semalam.

Bagaimanapun, helah lelaki itu gagal apabila pintu biliknya yang berkunci itu berjaya dibuka anggota AADK.

Ketua Pegawai AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, lelaki berusia 41 tahun itu mengaku dia terpaksa berbuat demikian untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

Beliau berkata, lelaki itu yang dipercayai penagih dadah ditahan untuk tindakan lanjut.

"Kita melakukan operasi aduan di sekitar daerah ini yang membabitkan lapan anggota dan tertumpu dari aduan awam yang diterima.

"Operasi membabitkan tiga lokasi di Kampung Teluk Mat Acheh, Kampung Tengah Sungai Yan dan Kampung Titi Teras," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mohamad berkata, dalam operasi itu juga, seorang ibu muda berusia 39 tahun ditahan di sebuah rumah keluarga di Kampung Titi Teras.

Wanita yang mempunyai dua anak berusia antara dua dan lapan tahun mengaku mula menagih dadah ketika berusia 20 tahun sehingga sekarang.

"Berdasarkan maklumat awam, rumah wanita itu kerap dikunjungi oleh rakan suaminya yang juga salah seorang Orang Kena Pengawasan ( OKP ) seliaan AADK dan masih menjalani pemulihan dalam komuniti.

"Wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Mohamad berkata, operasi diteruskan di sebuah rumah di Kampung Tengah Sungai Yan dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang tinggal dalam sebuah rumah yang dipenuhi dengan sampah dan peralatan tajam.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

"Mereka disiasat mengikut seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan ) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 9:12 AM