Safuri Kamarudin


EMPAT ditahan kerana positif dadah dalam operasi khas di Simpang Tiga Landak, Jalan Baling -Sungai Petani, di Baling, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, operasi khas selama tiga jam bermula 9 malam itu membabitkan Polis Cawangan Ketenteraman Awam dan Trafik , Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata, lelaki berusia 20-an itu yang menaiki Proton Wira ditahan dan diarah menjalani ujian saringan air kencing oleh AADK dan didapati positif methamphetamine dan morfin.

“Ketika pemeriksaan polis menemui heroin dalam kereta berkenaan.

“Dadah itu dipercayai untuk kegunaan sendiri," katanya.

Beliau berkata, seorang daripada mereka ditahan untuk pemeriksaan lanjut manakala rakan yang lain diserah kepada AADK.

Shariffuddin berkata, operasi khas besar-besaran itu membabitkan tiga agensi dengan kekuatan anggota 25 orang.

Beliau berkata, 135 kenderaan diperiksa iaitu kereta (65), motosikal (tujuh), van (20), lori (18) dan bas (25) termasuk bas sekolah, ekspres dan bas kilang.

Katanya, sebanyak 22 saman polis dan JPJ dikeluarkan meliputi lesen memandu, ekzos, tayar, muatan dan teknikal .

Menurutnya, operasi bersepadu itu memberi kesan yang baik kerana membabitkan agensi lain dalam penguatkuasaan masing-masing.

“Kita membuat pemeriksaan bersepadu kepada pemandu bas dan lori bagi memastikan bebas dadah dan perlu menjalani ujian air kencing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 12:36 PM