Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kajang: Campur air paip dengan air kencing. Itu tindakan terdesak seorang lelaki bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika ditahan dalam Ops Bersepadu di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) di Sungai Ramal, di sini, hari ini.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan untuk menjalani ujian saringan air kencing selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat.

Bagaimanapun, ketika di dalam tandas, pegawai AADK mendapati lelaki terbabit mencampurkan air paip dengan air kencingnya supaya ujian yang dijalankan negatif.

Dalam operasi berkenaan, seramai 12 lelaki ditahan AADK Hulu Langat kerana didapati positif dadah yang kebanyakannya adalah syabu.

Malah, ketika keterangan diambil pegawai AADK Hulu Langat, ada antara individu ditahan mengakui mengambil dadah sejak lebih lima tahun lalu dengan pelbagai alasan antaranya tekanan dan sekadar mencuba.

ANGGOTA dan pegawai AADK menahan penunggang motosikal dan kenderaan yang terbabit penyalahgunaan dadah dengan pemeriksaan air kencing ketika Operasi Khas Kenderaan Perdagangan (Pelbagai Kesalahan) di Plaza Tol Sungai Ramal, Kajang. FOTO Azhar Ramli
ANGGOTA dan pegawai AADK menahan penunggang motosikal dan kenderaan yang terbabit penyalahgunaan dadah dengan pemeriksaan air kencing ketika Operasi Khas Kenderaan Perdagangan (Pelbagai Kesalahan) di Plaza Tol Sungai Ramal, Kajang. FOTO Azhar Ramli

Ia hasil ujian saringan awal air kencing dan semua individu terbabit yang berusia 20-an hingga 50-an itu ditahan untuk tindakan lanjut.

Selain AADK Hulu Langat, operasi berkenaan disertai pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Zon Tengah selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta syarikat konsesi lebuhraya.

Menurut jurucakap polis, operasi berkenaan menyasarkan kenderaan perdagangan dan persendirian yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas serta pengubahsuaian.

"Sebanyak 80 saman trafik dikeluarkan polis dengan pemeriksaan dijalankan terhadap 150 kenderaan dan 150 individu manakala JPJ mengeluarkan 58 saman.

"Operasi bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari ini dijalankan secara berkala bagi mengesan pemandu yang melakukan pelbagai kesalahan khususnya kenderaan perdagangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 3:36 PM