ABDUL  Talib (tiga dari kiri) bersama  penduduk setempat menunjukkan notis cukai taksiran Majlis Daerah Kuala Langat pada sidang media di Taman Pahlawan.
ABDUL Talib (tiga dari kiri) bersama penduduk setempat menunjukkan notis cukai taksiran Majlis Daerah Kuala Langat pada sidang media di Taman Pahlawan.
Siraj Mohd Zaini

Kuala Langat: Penduduk di daerah ini menyuarakan rasa tidak puas hati berikutan tindakan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) yang didakwa menaikkan cukai taksiran terhadap kediaman mereka sehingga 400 peratus.

Mereka mendakwa kenaikan kadar cukai taksiran baru yang ditetapkan bermula tahun ini tidak wajar kerana terlalu tinggi selain sangat membebankan.

Wakil penduduk, Abdul Talib Jali, 54, berkata, kenaikan cukai yang mendadak itu sangat mengejutkan dan alasan yang dikemukakan MDKL tidak masuk akal.

Dia yang tinggal di Taman Nakhoda berkata, pada tahun lalu cukai taksiran hanya RM52.80 setahun tetapi pada tahun ini ia meningkat lebih 400 peratus sehingga menjadi RM508.40.

“Di sini adalah kawasan Majlis Daerah, bukan Majlis Perbandaran atau Majlis Bandaraya, saya bangkitkan perkara ini kerana ia kawasan kampung sehinggalah beberapa pembangunan dilaksanakan.

“Mereka (MDKL) kata ia disebabkan harga rumah yang saya duduki sudah meningkat, tetapi takkan ia sampai 400 peratus.

“Saya tengok kadar 11 peratus dikenakan kepada penduduk, jika cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus pun rakyat dah bising, macam mana mereka mengurus negeri ini, sungguh cacamarba,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaidi Samsudin, 44, dari Ta man Pahlawan, meluahkan rasa kecewa dengan kenaikan cukai taksiran yang diterimanya pada tahun ini.

Katanya, pada tahun lalu dia hanya membayar RM120 bagi cukai taksiran dan pada tahun ini ia meningkat kepada RM191.60.

“Penyelenggaraan tidak dijalankan dengan sempurna, longkang tersumbat, sampah bertaburan, pokok tidak dicantas kenaikan tinggi, tapi kerja tak buat.

“Jangan tahu kutip duit saja tapi kerja tak buat. Saya memang bantah kenaikan yang sangat tinggi dan memang membebankan penduduk di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jefrizal Mohd Jaafar, 45, berkata kebanyakan rakyat sudah berhadapan dengan pelbagai peningkatan kos sara hidup dan kenaikan cukai taksiran ini akan menambah kesengsaraan hidup mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 10:53 AM