Norizal (kanan) bersama Francis menunjukkan notis kadar senarai nilaian baharu yang diterima daripada MPKj. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Norizal (kanan) bersama Francis menunjukkan notis kadar senarai nilaian baharu yang diterima daripada MPKj. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Semenyih: Orang ramai yang tinggal di kawasan seliaan Majlis Perbandaran Kajang meminta pihak berkuasa tempatan itu tidak menaikkan kadar cukai taksiran dalam masa terdekat.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Sunway Semenyih, Norizal Md Tahir berkata, jika nilai baharu cukai taksiran itu dikuatkuasakan, jumlahnya meningkat lebih 100 peratus yang perlu dibayar penduduk.

Menurutnya, dalam suasana ekonomi tidak menentu dan fasa pemulihan yang masih perlahan, MPKj diminta menilai semula kadar kenaikan cukai terbabit.

"Kami sedar kos penyelenggaraan dan kerja berkaitan sudah meningkat namun MPKj perlu berikan kelonggaran kepada penduduk untuk kembali stabil.

"Nilai hartanah juga tidak lagi tinggi seperti sebelum pandemik dan nilaian itu dilihat tidak selari dengan keadaan semasa dan penyelenggaraan terutama membabitkan lanskap serta perparitan yang perlu ditambah baik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Norizal berkata, jika ada pun kenaikan pada masa akan datang, MPKj tidak boleh menaikkannya melebihi 100 peratus daripada jumlah cukai yang kini dibayar penduduk.

Seorang lagi penduduk, Francis Nonis berkata, pesara kerajaan seperti dirinya pasti terkesan jika kenaikan dikuatkuasakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, bantahan perlu dibuat sebelum atau pada 16 Mei lalu namun notis diterima penduduk sudah melebihi tarikh itu.

"Saya sudah pasti akan membantah kenaikan pada kadar yang sangat tinggi sedangkan ada kemudahan yang masih tidak dipenuhi oleh MPKj.

"Jadi lebih baik tangguhkan dahulu kenaikan dan lanjutkan tempoh untuk penduduk memberi respon terhadap penilaian kadar baharu ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, notis yang diterima penduduk adalah amalan pihak berkuasa tempatan terbabit untuk melakukan bancian setiap lima tahun.

Menurutnya, kadar cukai taksiran yang dibayar penduduk tidak pernah diperbaharui MPKj sejak 1985.

"Ini amalan MPKj setiap lima tahun untuk buat bancian kepada penduduk dan nilai cukai baharu itu mengikut nilai semasa hartanah.

"Namun kadar cukai yang dicadangkan itu belum dikuatkuasakan kerana MPKj masih menanti respon atau sebarang bantahan yang dikemukakan penduduk.

"Peningkatan cukai taksiran itu juga selari dengan kos semasa yang ditanggung MPKj bagi pelbagai kerja penyelenggaran dan kemudahan awam sekitar Hulu Langat," katanya.

Menurutnya, dalam masa terdekat, MPKj akan menjalankan sesi libat urus bersama persatuan penduduk bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 7:16 PM