Hassan dan Mohamad Alhad (tengah)  bersama peserta dalam program Helping Hands, Helping Heart 2.0 UiTM Pasir Gudang dan penyerahan 40 bakul makanan Parlimen Pasir Gudang di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Pasir Gudang, hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Hassan dan Mohamad Alhad (tengah) bersama peserta dalam program Helping Hands, Helping Heart 2.0 UiTM Pasir Gudang dan penyerahan 40 bakul makanan Parlimen Pasir Gudang di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Pasir Gudang, hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membantah rancangan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menaikkan cukai pintu sehingga 40 peratus bermula tahun depan.

Beliau berkata, tindakan itu akan membuatkan rakyat bertambah marah malah semakin terbeban selepas MBPG memutuskan untuk menguat kuasa tindakan saman kenderaan diparkir di luar pagar rumah pada tahun depan.

Menurutnya, kenaikan berkenaan tidak wajar dan terlalu tinggi dalam keadaan rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Ia tidak sesuai apatah lagi gaji tidak naik. Saya mendapat banyak aduan penduduk Pasir Gudang yang mahu saya menyuarakan perkara ini," katanya mengulas berkaitan rancangan MBPG yang akan menaikkan kadar cukai pintu di bandar raya ini sehingga 40 peratus pada tahun depan.

Hassan berkata, Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta supaya tidak membuat keputusan sesuka hati tanpa mengambil kira keadaan semasa.

Beliau berkata, sebarang keputusan yang akan dibuat itu akan memberi kesan buruk terhadap kerajaan Perpaduan malah beliau sendiri akan turut dipersalahkan oleh rakyat kerana tidak bertimbang rasa dalam isu berkenaan.

"Kenaikan cukai pintu dan cukai taksiran ini perlu dibincang terlebih dahulu. Kita tiada bantahan sekiranya ia naik beransur-ansur sebaliknya bukan mendadak sampai 30 atau 40 peratus.

"Keputusan ini akan membuatkan ratusan ribu penduduk Pasir Gudang terjejas. Saya mahu Datuk Bandar adakan sesi libat urus dan berdebat dengan saya pada bila-bila masa berkaitan kewajaran isu cukai ini," katanya.

Terdahulu Hassan menyempurnakan program Helping Hands, Helping Heart 2.0 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang dan penyerahan 40 bakul makanan Parlimen Pasir Gudang di Kampung Orang Asli Teluk Jawa di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Masai, Mohamad Alhad Ngadimon, 54, berkata, penduduk kampung akan membuat bantahan dan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu berkenaan.

"Kenaikan kadar cukai pintu boleh tapi janganlah terlalu banyak. Kalau dulu bayar cukai pintu RM200 lepas kadar naik nanti kena bayar lebih RM500. Kami harap dapatlah ditangguh dulu atau dipertimbangkan semula.

"Alasan MBPG kerana cukai pintu tidak naik sejak 2014 dan sekiranya naik tinggi tetapi penduduk tak mampu bayar pun akan jadi masalah yang panjang nanti," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 12:17 PM