Anggota polis mengiringi tertuduh di pekarangan mahkamah.
Anggota polis mengiringi tertuduh di pekarangan mahkamah.
HM Digital

Johor Bahru: Seorang pembekal bahan binaan mengaku tidak bersalah terhadap 19 pertuduhan memperdaya dan menyalah guna harta lima individu membabitkan nilai RM1.05 juta di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, semalam.

Ernest Edwin De Silva Charles, 52, didakwa atas 15 pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan antara Jun tahun lalu hingga Disember tahun lalu di beberapa kawasan di Masai dan Skudai, Johor.

Tertuduh yang berasal dari Seri Alam, Masai di sini, didakwa menyalah guna pelbagai kenderaan termasuk Toyota dan Honda syarikat kereta sewa milik seorang lelaki dengan menjual kenderaan itu bagi kegunaan sendiri.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang enam bulan, tidak melebihi lima tahun, sebatan dan boleh didenda bagi setiap pertuduhan berkenaan.

Tertuduh juga didakwa atas empat kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa menawarkan pelbagai kenderaan bagi tujuan mendorong beberapa mangsa bagi menyerahkan sejumlah wang serta didakwa menawarkan kenderaan mewah yang tidak wujud seperti BMW 328GT dan Mercedes Benz 350.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan denda.

Tertuduh didakwa di beberapa kamar mahkamah secara berasingan di depan Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi, Majistret Siti Hajar Ali dan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Dia dibenar diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM43,500 dan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Syafiq Razali, A Jalil Salam dan Muhammad Mohd Nasir manakala tertuduh diwakili peguam, Arwa Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 1:47 AM