MATTHEW (dua dari kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Langkawi bagi berhadapan tuduhan menghasilkan bahan penganiyaan seksual terhadap kanak-kanak. FOTO Hamzah Osman
MATTHEW (dua dari kanan) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Langkawi bagi berhadapan tuduhan menghasilkan bahan penganiyaan seksual terhadap kanak-kanak. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada awal Februari lalu.

Bagaimanapun tertuduh, David Matthew Frahm, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Helmi Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghasilkan bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di sebuah kediaman di Jalan Seri Legenda di sini kira-kira jam 3.30 petang pada 1 Februari lalu.

Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTK) 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan tidak kurang enam sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Cheow Wee dan Alvin Lau.

Pendakwaan turut meminta mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kes berkenaan adalah serius dan membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Mahkamah menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesalahan tinggal melebihi masa ditetapkan di negara ini.

Frahm membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Natasya Rizal.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa tinggal di negara ini selama 1,380 hari melebihi masa yang dibenarkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 Februari lalu, pada jam 7.10 malam di Chogm Villa, Jalan Seri Lagenda, Mukim Kuah.

Dia dakwa melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda minimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 1:24 PM