VISWANATHAN (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.
VISWANATHAN (kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, semalam.
Raja Noraina Raja Rahim


Johor Bahru: Seorang lelaki, teman wanitanya serta dua anak lelaki kepada wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan mendatangkan kecederaan kepada remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga anak kepada lelaki itu.

Tertuduh, G Viswanathan, 36, K Lechumy, 40, dan dua anak lelakinya, R Aravindaar, 19, serta seorang lagi berusia 14 tahun mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa namun mengaku tidak bersalah dan meminta kes dibicarakan.

Viswanathan yang juga pekerja swasta didakwa melakukan kesalahan itu pada Februari 2017 hingga 14 Ogos lalu di rumah beralamat No 31, Jalan Camar 5, Taman Perling di sini.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (a) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Viswanathan tidak ditawarkan sebarang jaminan.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru Kamarudin Kamsun menetapkan 13 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Manakala Lechumy yang hamil enam bulan dan tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan sama pada Julai 2017 hingga 14 Ogos lalu di alamat sama.

Lechumy didakwa mendatangkan kecederaan ke atas kanak-kanak itu menggunakan suatu alat yang digunakan sebagai senjata dan mungkin menyebabkan kecederaan iaitu seutas wayar.

Lechumy didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan.

Majistret Siti Hajar Ali menetapkan 3 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dua anak lelaki Lechumy pula didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa sejak Julai hingga 14 Ogos lalu di alamat sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:33 AM