Keadaan motosikal Abdul Malek yang terbabit kemalangan di Kilometer 73, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam.
Keadaan motosikal Abdul Malek yang terbabit kemalangan di Kilometer 73, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam.
Adnan Ibrahim


Kluang: “Tolong jaga keluarga baik-baik dan tumpukan perhatian dalam pelajaran supaya jadi anak yang berguna,” kata Muhd Amir Asyraaf, 13, menceritakan nasihat diberikan ayahnya, Abdul Malek Abdul Hamid, 46, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 73, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, pesara tentera itu maut apabila motosikal ditunggangnya dari Ayer Hitam ke Johor Bahru merempuh sebuah motosikal yang membuat pusingan U menyebabkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Muhd Amir, pesanan itu diungkapkan ayahnya dua hari lalu ketika menghubunginya yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Sains Sembrong walaupun sebelum itu mereka baru beberapa hari berjumpa ketika dia pulang ke rumahnya di Kuarters Tentera, Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, di sini.

“Tengah hari kejadian, saya menghubungi ibu (Rugayah Long Omar, 45) dan bertanyakan ayah namun dia mengatakan ayah ke Johor Bahru menunggang motosikal.

“Namun ketika berehat di asrama, saya menerima panggilan daripada ibu memberitahu ayah terbabit dalam kemalangan dan meminta saya bersiap sedia untuk ke hospital,” katanya.

Muhd Amir yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu adalah anak lelaki tunggal Abdul Malek dan Rugayah yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim, di sini.

MUHD  Amir Asyraaf  membaca surah Yasin sementara menunggu proses bedah siasat  jenazah ayahnya,  petang kelmarin.
MUHD Amir Asyraaf membaca surah Yasin sementara menunggu proses bedah siasat jenazah ayahnya, petang kelmarin.

Rugayah berkata, ketika kejadian suaminya dalam perjalanan dari Kluang ke Johor Bahru untuk membayar gaji pekerjanya yang menyiapkan kerja kontrak diberikannya di Kampung Tebing Runtuh.

“Kebiasaannya dia memandu kereta bersama seorang pembantunya jika bergerak jauh namun disebabkan perlu bergerak cepat, dia menunggang motosikal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 5:52 AM