Muhd Fuad Haziq (kiri) dan isteri, Nurul Anisha bersama Muhd Fuad Hazim dan isteri, Siri Shahira (tengah) serta Muhd Fuad Ammar dan isteri, Nor Jalilah yang bersanding serentak ketika majlis persandingan di kediaman keluarga mereka. FOTO Adnan Ibrahim

Adnan Ibrahim

TIGA lelaki kembar berusia 27 tahun yang melangsungkan majlis persandingan serentak di rumah keluarga mereka di Parit Bugis, Pekan Senggarang, Batu Pahat, hari ini, mahu menjadikan majlis istimewa itu sebagai hadiah buat keluarga dan rakan.

Bapa mereka, Fuad Tayadi Suratman, 52, berkata, ketiga-tiga anaknya itu adalah bekas penuntut Maktab Tentera Diraja (MTD) Kem Sungai Besi sesi 2008 dan merancang mengadakan ‘majlis menyambut menantu’ serentak sejak tahun lalu selepas masing-masing mempunyai pasangan hidup.

Menurutnya, anak sulung daripada kembar bertiga itu, Muhd Fuad Haziq yang bekerja di sebuah hospital di Singapura bernikah dengan pegawai pengurusan syarikat makanan segera, Nurul Anisha Khairullizam, pada 15 September lalu.

Katanya, pada 15 Disember berikutnya pula, anak kedua, Muhd Fuad Ammar yang bekerja sebagai Pegawai Perubatan Tentera berpangkat Leftenan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, bernikah dengan gadis pilihan, Nor Jalilah Norhisham, seorang doktor di Johor Bahru.

“Anak ketiga, Muhd Fuad Hazim, yang juga pegawai tentera berpangkat Leftenan Rejimen Kedua Artileri Diraja, Kem Mahkota, Kluang, bernikah 1 Februari lalu dengan Siti Shahira Hamdan, seorang setiausaha di Johor Bahru.

“Uniknya, majlis persandingan ini semuanya diatur dan dibincangkan mereka adik-beradik cuma kata putusnya saya tetapkan kerana mahu majlis ini menjadi satu kenangan manis kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya sempena majlis persandingan itu, hari ini.

Fuad Tayadi yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Sri Molek Senggarang berkata, tiga anak kembarnya itu adalah anak sulung daripada lima beradik dengan dua anak lain, masing-masing berusia 18 dan 22 tahun.

Katanya, dia dan isteri, Zunaini Ramli, 52, bersyukur majlis persandingan anak kembar mereka itu berjalan lancar dan berterima kasih kepada kenalan, keluarga, rakan serta penduduk kampung yang datang ke majlis serta membantu mereka.

“Sebagai bapa, saya berdoa supaya jodoh mereka (anak) kekal hingga ke akhir hayat dan dikurniakan anak yang soleh serta cemerlang seperti ibu bapa mereka,” katanya.

Muhd Fuad Haziq, Muhd Fuad Hazim Dan Muhd Fuad Ammar dan pasangan masing-masing bergambar bersama ibu bapa mereka, Fuad Tayadi (tiga dari kanan) dan Zunaini (tiga dari kiri).
Muhd Fuad Haziq, Muhd Fuad Hazim Dan Muhd Fuad Ammar dan pasangan masing-masing bergambar bersama ibu bapa mereka, Fuad Tayadi (tiga dari kanan) dan Zunaini (tiga dari kiri).

Muhd Fuad Hazim bersama pasangannya Siti Shahira diberi penghormatan pegawai dari Kem Mahkota Kluang ketika majlis persandingan mereka. FOTO Adnan Ibrahim
Muhd Fuad Hazim bersama pasangannya Siti Shahira diberi penghormatan pegawai dari Kem Mahkota Kluang ketika majlis persandingan mereka. FOTO Adnan Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 4:47 PM