SEBAHAGIAN jemaah umrah dari utara terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejak pagi tadi akibat agensi yang mengendalikan pakej umrahnya gagal dihubungi. FOTO Abd Rahim Rahmat
SEBAHAGIAN jemaah umrah dari utara terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejak pagi tadi akibat agensi yang mengendalikan pakej umrahnya gagal dihubungi. FOTO Abd Rahim Rahmat
Siti A'isyah Sukaimi


“PULANGKAN semua wang kami, jangan ada yang kurang walau satu sen. Jumlah itu besar dan bukan senang kami mengumpulnya," kata Muzuri Mustafah, 33, wakil daripada 15 bakal jemaah umrah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Jemaah terbabit tiba pagi tadi di KLIA dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang selepas dimaklumkan akan berlepas 7 malam hari ini menaiki pesawat Emirates Airline.

Difahamkan, pakej ditawarkan antara RM7,000 ke RM8,000 untuk seorang selain pakej umrah membabitkan beberapa orang untuk keluarga.

Muzuri berkata, semua bakal jemaah terbabit hadir sendiri ke KLIA memandangkan agensi umrah berkenaan tidak menyediakan bas kepada mereka.

"Bagaimanapun, malam tadi kami diberitahu penerbangan ditukarkan ke klia2 menggunakan pesawat AirAsia terus ke Madinah 5.10 pagi esok dan pada 10 pagi hari ini, kami ke sana untuk memeriksanya.

"Memang ada maklumat pesawat dikatakan itu tetapi ia mendarat di Jeddah dan bukannya Madinah, malah nama kami tiada dalam senarai penumpang termasuk penerbangan Emirates Airline yang dijanjikan pada hari ini," katanya ketika ditemui Harian Metro di KLIA, Sepang, hari ini.

Ditanya berkenaan agensi itu, Muzuri yang juga anggota tentera di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani berkata, dia berurusan sendiri dengan individu lelaki dikatakan ketua pegawai eksekutif syarikat itu.

Katanya, ibu pejabat syarikat berkenaan terletak di Johor Bahru dan turut membuka cawangannya di Sungai Petani, justeru mereka berurusan di sana.

"Lebih menguatkan kepercayaan kami terhadap syarikat ini apabila mereka pernah dijemput dalam satu program televisyen dan wakil agensi itu menerangkan pakej umrah ditawarkan mereka.

"Jumlah keseluruhan dikenakan bagi pakej saya sertai ialah kira-kira RM18,270 untuk tiga orang termasuk isteri dan anak yang saya bayar di cawangan syarikat di Sungai Petani," katanya.

Selain itu, dia berkata, mereka tertarik dengan tawaran syarikat itu apabila berpeluang menunaikan solat Jumaat dua kali di sana iaitu Madinah dan Makkah sebelum pulang ke tanah air.

Dalam pada itu, Muzuri berkata, agensi berkenaan turut menganjurkan kursus namun, yang lebih menghairankan kursus terbabit dibuat di rumah bakal jemaah umrah.

"Wakil syarikat itu datang sendiri ke rumah setiap bakal jemaah umrah bagi melakukan kursus dan saya merasa pelik memandangkan tidak pernah dengar ada pakej sebegitu.

"Selain itu, selepas kami menyelesaikan semua bayaran, pihak syarikat juga langsung tidak menghubungi kami sehinggalah baru-baru ini, mereka memaklumkan pasport saya, isteri dan anak hilang.

"Tiada langsung wakil syarikat termasuk mutawif datang ke KLIA menemui kami hari ini malah, panggilan telefon termasuk mesej dihantar melalui aplikasi WhatsApp juga tidak dibalas," katanya.

Berikutan itu, Muzuri berkata, semua mangsa membuat laporan di balai polis aras lima KLIA dan akan mengambil tindakan seterusnya termasuk melaporkan ke Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Kami berharap tiada lagi mangsa tertipu dengan syarikat umrah ini walaupun pernah keluar dalam program televisyen, orang ramai perlu berhati-hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 7:23 PM