Siti A'isyah Sukaimi


AGENSI pakej umrah yang didakwa menipu 15 bakal jemaah sehingga menyebabkan mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin, didapati tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Sumber kementerian mengesahkan syarikat yang mempunyai ibu pejabat di Johor itu tidak berdaftar secara sah dengan mereka namun, enggan mengulas lanjut.

Pada masa sama, semakan di laman rasmi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di http://www.motac.gov.my mendapati nama syarikat itu tidak tersenarai dalam kalangan 68 agensi yang berdaftar.

Semalam, Harian Metro melaporkan, seramai 15 bakal jemaah dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang terkandas di KLIA, Sepang selepas nama mereka tidak tersenarai sebagai penumpang.

Mereka sepatutnya berlepas 7 malam semalam dengan menaiki pesawat Emirates Airline namun pihak agensi memberitahu penerbangan ditukar kepada pesawat AirAsia pada 5.10 pagi hari ini ke Madinah.

Mangsa menyemak maklumat dikatakan itu namun penerbangan adalah ke Jeddah malah, semakan nama mereka tiada dalam senarai penumpang termasuk Emirates Airline yang dijanjikan sebelum ini.

Sementara itu, wakil mangsa terbabit, Muzuri Mustafah, 33, ketika dihubungi berkata, hari ini, tujuh lagi individu dari Ijok, Selangor yang mengambil tawaran pakej umrah dari syarikat sama turut terkandas.

"Sehingga kini, pihak agensi itu tidak hadir menemui kami semua di KLIA. Semua bakal jemaah juga sudah pulang ke rumah masing-masing dan tidak mampu untuk menunggu," katanya.

Berita berkaitan

Tak baik tipu orang nak beribadah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 8:16 PM