GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Jemaah umrah negara ini berlapang dada dan akur dengan kenaikan mendadak harga pakej umrah kerana memahami situasi keadaan semasa ketika ini, selain pakej itu sudah ditempah awal.

Bakal jemaah umrah dari Shah Alam, Nurul Maizan Mohd Din, 47, berkata, harga pakej umrah ketika ini memang diakui jauh berbeza berbanding sebelum penularan Covid-19 lalu dan ketika ini juga permintaan menunaikan ibadah itu tinggi.

Menurutnya, dia akan berangkat ke Tanah Suci pada 1 Februari depan bersama dua anaknya dan sudah menempah pakej itu sejak Oktober tahun lalu.

"Ketika membuat tempahan pakej itu harga masih kekal dan saya dimaklumkan harga mungkin dinaikkan... mereka sahkan memang harga dinaikkan. Tambahan harga kira-kira 10 hingga 15 peratus di saat akhir.

"Saya tertanya juga mulanya kenapa berlaku kenaikan harga tetapi berlapang dada dan pihak agensi terangkan yang kos di sana meningkat atas faktor kadar hotel, penerbangan kurang, tetapi jemaah ramai dan visa," katanya.

Katanya, dia yang memahami perkara itu berharap pihak kerajaan dapat mengadakan perbincangan dengan pihak berkenaan melihat situasi dilalui jemaah dalam perkara ini.

Sementara itu, Ismail Khaidir, 49, berkata, harga pakej yang diambilnya melalui sebuah agensi perlu ditambah RM1,000 tetapi dikurangkan kepada RM700 selepas perbincangan dengan agensi.

Menurutnya, sebelum itu dia menempah pakej umrah itu sejak pertengahan tahun lalu dan pihak agensi memberitahu harga itu kemungkinan terpaksa dinaikkan sebelum mereka mengesahkan perkara itu dua hari lalu.

"Apabila agensi memberitahu jangkaan awal saya membuat persediaan sebab bimbang memang betul naik harga dan dua hari lalu mereka beritahu harga terpaksa dinaikan. Sepatutnya kami perlu menambah RM1, 000 seorang tetapi dikurangkan RM700 selepas berbincang.

"Saya ambil berat isu semasa jadi tahu perkembangan. Saya akur dan berlapang dada tetapi bersyukur ada pengurangan harga, malah agensi memberi penerangan jelas dan kita ada komunikasi jadi faham dengan situasi ketika ini kerana kos di sana meningkat," katanya akan ke Tanah Suci pada 1 Februari bersama keluarga dan rakan.

Semalam media melaporkan, kadar kenaikan harga hotel di Kota Makkah dan Madinah menyebabkan kenaikan harga pakej umrah yang ditetapkan oleh segelintir agensi pelancongan terpaksa dinaikkan pada saat akhir sebelum jemaah ke tanah suci.

Naib Presiden Haji dan Umrah Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Mohd Azri bin Abd Razak berkata, kenaikan harga itu dipercayai berpunca daripada permintaan yang tinggi di hotel terutamanya di Kota Madinah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 12:29 PM