Arsyad cukup ceria menerima kit bantuan keperluan harian daripada BiKUM, di Batu Sapi, hari ini. FOTO/ Rosela Ismail
Arsyad cukup ceria menerima kit bantuan keperluan harian daripada BiKUM, di Batu Sapi, hari ini. FOTO/ Rosela Ismail
Fairul Asmaini Mohd Pilus

“DARI jauh kamu semua datang semata-mata untuk membantu kami, pak cik ucapkan ribuan terima kasih.

“Meskipun ada yang menganggap bantuan tidak seberapa tetapi ia besar ertinya kepada penduduk luar bandar seperti pak cik sekeluarga,” kata Arsyad Abdul Kahar, 74.

Warga emas dari Kampung Karamunting itu antara penduduk yang menerima bantuan daripada Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0, di Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi, hari ini.

Menurut Arsyaad, meskipun majlis hanya bermula pada jam 3 petang, dia bersemangat dan datang dua jam awal.

Katanya, selain menerima bantuan, dia teruja untuk mendengar amanat yang disampaikan oleh pemimpin tempatan dan Pengerusi BiKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Tiada perkataan yang dapat pak cik luahkan, hanya syukur yang tidak terhingga.

“Harapan pakcik, biarlah bantuan sebegini berterusan dan bukannya pada waktu tertentu saja,” katanya.

Shamsul (tiga dari kiri) bersama Samsudin (tiga dari kanan) pada majlis penyampaian bantuan sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Batu Sapi. FOTO/ Rosela Ismail
Shamsul (tiga dari kiri) bersama Samsudin (tiga dari kanan) pada majlis penyampaian bantuan sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Batu Sapi. FOTO/ Rosela Ismail

Sementara itu, Shamsul dalam ucapannya berkata, UMNO menyediakan peruntukan sebanyak RM150,000 untuk bantuan kit barangan keperluan harian kepada penduduk dan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi) kepada pelajar sekitar Batu Sapi.

Selain itu, UMNO turut menyumbang RM50,000 kepada lebih 50 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Sundang Laut, baru-baru ini.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, nasib rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Diharapkan sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi Datuk Samsudin Yahya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 6:17 PM