Jaulisah sanggup tempuh perjalanan jauh menemani anaknya, Allesya untuk terima bantuan pembukaan akaun SSPNi daripada BiKUM di Tenom, hari ini. FOTO/ Rosela Ismail
Jaulisah sanggup tempuh perjalanan jauh menemani anaknya, Allesya untuk terima bantuan pembukaan akaun SSPNi daripada BiKUM di Tenom, hari ini. FOTO/ Rosela Ismail
Fairul Asmaini Mohd Pilus

KASIH seorang ibu. Ibu yang masih berpantang ini sanggup meredah perjalanan lebih dua jam setengah bagi menemani anak sulungnya yang menerima bantuan pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi) di Tenom, hari ini.

Jaulisah Ambun, 31, dari Kampung Malututulu Tomani, berkata, dia bersama suami serta dua anaknya, Allesya Izzati Adawiyah Abdullah, 8, dan Muhammad Saqib Khan, sebulan, memulakan perjalanan seawal jam 6 pagi bagi memastikan dapat tiba awal di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom.

Dia dan suami juga terpaksa membawa bersama bayi yang baru berusia 30 hari kerana tiada orang yang dapat membantu menjaganya di rumah.

“Rumah kami terletak jauh di kawasan pedalaman dan perlu melalui laluan berbukit-bukau untuk ke bandar Tenom.

“Walaupun terpaksa menempuh perjalanan lebih dua jam setengah, ia berbaloi demi masa depan pendidikan anak,” katanya ketika ditemui pada majlis UMNO Bantu Rakyat 2.0 anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) dan UMNO Bahagian Tenom, hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 300 pelajar sekolah rendah sekitar daerah terbabit menerima sumbangan pembukaan akaun SSPNi, RM100 seorang daripada BiKUM.

Selain itu, lebih 1,000 keluarga kurang berkemampuan turut menerima sumbangan kit makanan dan barangan keperluan bernilai RM120,000.

Sumbangan diserahkan Pengerusi BiKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan hadir sama, Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi serta Ketua UMNO Bahagian Datuk Rubin Balang. 

Kunjungan BiKUM diketuai Shamsul (kiri) bersama Rubin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada David yang terlantar akibat kanser usus. FOTO/ Rosela Ismail
Kunjungan BiKUM diketuai Shamsul (kiri) bersama Rubin (tengah) menyampaikan sumbangan kepada David yang terlantar akibat kanser usus. FOTO/ Rosela Ismail

Dalam ucapannya, Shamsul berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dan UMNO mampu menyediakan kemudahan pendidikan terbaik untuk rakyat.

“UMNO bukan hanya menjaga kebajikan ahli, orang Melayu atau kaum Bumiputera tetapi juga semua kaum lain di seluruh negara.

“Dengan ditunjangi parti yang utuh, kerajaan yang ada hari ini mampu menyediakan prasarana pendidikan berkualiti dan terbaik untuk rakyat.

“Semua itu membezakan parti ini dengan parti lain yang belum tentu hala tuju sebenar mereka,” katanya.

Sementara itu, sempena program yang sama, Shamsul, Raime dan Rubin turut meluangkan masa menziarahi Ketua Daerah Tenom, David Jani, 63, yang terlantar akibat kanser usus di rumahnya di Kampung Entabuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 2:12 PM